10 Hari Dah Boleh Tuai, Cendawan Volvariella Mampu Jana Pulangan Lumayan…

Pendang: Berbekalkan impian tinggi, seorang siswazah Pengajian Media dari Universiti Malaya tekad untuk berkecimpung dalam projek penanaman cendawan Volvariella sehingga mampu mencapai pendapatan RM4,500 sebulan.

Sarah Hussain, 32, berasal dari Kampung Bukit Murai, Mukim Padang Pusing berkata, dia mengusahakan tanaman itu secara perkongsian bersama abangnya, Omar, 51, dan sepupunya, Khairul Azmi Rejab, 26, di kebun getah seluas 0.4 hektar milik keluarganya bermula Oktober lalu.

Melalui bimbingan dan bantuan dari Jabatan Pertanian daerah berupa tandan kelapa sawit yang dijadikan media tanaman dan anak benih, Sarah tekad mengikuti kursus tanaman yang diadakan di sini.

“Sebanyak 32 batas cendawan disediakan dengan setiap batas mampu menghasilkan kira-kira lima hingga tujuh kilogram cendawan selepas 10 hari benih ditabur,” ujarnya kepada Bernama.

Cendawan Volvariella atau biasanya dipanggil cendawan jerami diperkenalkan kepada pekebun kecil sebagai tanaman alternatif bagi menambah pendapatan sampingan mereka.

Sebelum ini, ia ditanam menggunakan jerami padi sebagai medium tanaman, namun kini penenaman menjadi lebih mudah apabila tandan sawit yang hanya perlu diperap digunakan sebelum disusun untuk dijadikan batas penanaman.

Sarah berkata setiap bulan mereka mampu mengutip kira-kira 300 hingga 400 kilogram cendawan Volvariella dengan pendapatan kasar sekitar RM4,500 sehingga RM5,000 sebulan (sekali pusingan tanaman).

Sementara itu, Omar berkata, permintaan terhadap cendawan Volvariella amat menggalakkan dan mendapat permintaan yang amat tinggi daripada masyarakat setempat serta pengusaha restoran.

“Cendawan ini mempunyai khasiat yang tinggi dan boleh dijadikan hidangan untuk seisi keluarga serta produk hiliran lain seperti produk kecantikan dan juga dijadikan serunding,” katanya.

Omar berkata, kebun cendawannya kini turut menjadi projek perintis bagi daerah Pendang dan pusat rujukan kepada mereka yang berminat untuk mendapat khidmat nasihat tentang tanaman cendawan Volvariella. – BERNAMA

About Sifudurian 312 Articles
BLOGGER, WRITER, FARMER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*