Ikan Sungai Pahang mahal, cecah ratusan ringgit sekilogram

KUANTAN: Permintaan tinggi selain sukar mendapatkannya menjadi faktor utama harga 17 spesies utama ikan Sungai Pahang, antaranya patin muncung, jelawat dan kelah merah, kini meningkat 10 hingga 40 peratus sejak sebulan lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman, berkata patin muncung, kelah merah, kelah putih dan patin buah liar kini berada dalam senarai tertinggi harga iaitu sekitar RM125 hingga RM350 sekilogram, dalam kes tertentu harganya boleh meningkat kepada RM450 sekilogram.

Katanya, pihaknya tidak ada kuasa untuk mengawal harga ikan Sungai Pahang walaupun ada pihak mendesak supaya pihaknya menentukan harga siling yang perlu diikuti nelayan darat di negeri ini.

“Faktor musim tengkujuh dan kemarau juga mempengaruhi harga semasa ikan sungai, pada musim kemarau air sungai surut dan cetek, sekali gus memberi peluang kepada nelayan darat menangkap lebih banyak ikan,” ujarnya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas berita tular di laman sosial semalam yang menyenaraikan harga 17 spesies ikan Sungai Pahang, harga berkenaan dikatakan terlalu tinggi berbanding yang dijual oleh nelayan darat di negeri ini.

Harga tertinggi ikan liar sungai yang disenaraikan ialah ikan kelah merah iaitu RM583 sekilogram diikuti kelah putih dan patin muncung RM339.20 sekilogram, patin buah RM127.20 sekilogram, tenggalan serta kerai kuning RM106 sekilogram.

Jelas Azahari, pegawai pejabat perikanan daerah sentiasa memantau kegiatan nelayan darat termasuk hasil tangkapan mereka dari masa ke semasa serta turut menyemak harga jualan semua spesies ikan.

“Saya difahamkan, permintaan terhadap ikan Sungai Pahang terus meningkat untuk pasaran dalam dan luar negeri ini kerana keenakan rasanya,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata pihaknya melakukan pelepasan benih ikan bagi menambah taburan ikan di Sungai Pahang dan beberapa sungai utama di negeri ini secara berterusan.

“Tahun lalu, lebih sejuta pelbagai spesies ikan air tawar seperti lampam sungai, patin, baung, temoleh, ketutu dan udang galah dilepaskan ke perairan negeri ini membabitkan sungai, empangan dan tasik,” katanya kepada wartawan Berita Harian.

Leave a Comment