Dua Adik Beradik Jadi Usahawan Nanas Berjaya Di Usia Muda!

RANTAU PANJANG: Tekad dua beradik untuk berbudi kepada tanah dengan mengusahakan nanas ternyata memberi hasil lumayan apabila mampu memperoleh pendapatan ribuan ringgit setiap minggu.

Mohammad Naqiuddin Che Hashim, 24, dan adiknya Mohammad Hasrul, 19, kini mampu tersenyum gembira apabila hasil titik peluh mereka mengusahakan nanas pada tanah seluas 4.8 hektar membuahkan hasil lumayan.

Mereka yang baru pertama kali menanam tanaman itu, mampu mengutip hasil nanas sebanyak 1,000 sehingga 2,000 kilogram seminggu, bergantung pada permintaan pemborong atau pelanggan.

Mohammad Naqiuddin berkata, mereka turut dibantu bapanya, Che Hashim Che Hasan, 55, daripada segi kewangan dan sokongan bagi memastikan projek tanaman nanas itu memberikan hasil lumayan, selain banyak berkongsi ilmu pertanian.

“Alhamdulillah, permintaan nanas jenis madu kaca yang kami usahakan ini mendapat permintaan yang tinggi termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah permintaan terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Nanas ini dijual pada harga RM2.50 sehingga RM3 sekilogram yang harganya berubah bergantung kepada pasaran. Kami juga menanam jenis MD2, namun masih belum dapat dijual kerana belum matang sepenuhnya.

“Menjadi petani mudah, kena ada kesabaran, semangat tinggi dan rajin kerana ia memerlukan kerahan tenaga supaya tanaman dapat diusahakan sebaiknya,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Kubang Rambutan di sini, semalam.

Mohamad Naqiuddin berkata, mereka turut dibantu empat pekerja untuk proses menanam serta mengutip nenas.

Katanya, antara cabaran mengusahakan tanaman nanas ialah tempoh matang mengambil masa lama, iaitu lebih setahun, namun masak secara berperingkat, selain serangan haiwan perosak seperti kera dan babi hutan.

“Kami juga terpaksa meredah jalan hutan sepanjang tiga kilometer lebih dengan menunggang motosikal atau menaiki pacuan empat roda (4WD) kerana jalannya agak mencabar.

“Kami mahu membuktikan bahawa pertanian mampu memberi pulangan lumayan dan menyeru anak muda turut sama bertani memandangkan situasi sekarang sukar mendapatkan pekerjaan,” ujarnya – Berita Harian

Leave a Comment