(Kisah Inspirasi) Harga mencecah RM500 sekilogram, penternakan ikan kelah mampu jana pulangan lumayan!

KOTA BHARU: Penternakan ikan kelah dalam sangkar mampu menarik golongan muda untuk menceburi bidang keusahawanan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

(Gambar atas) TERANGKAN: Che Abdullah (dua kiri) mendengar penerangan daripada pengusaha tapak penternakan ikan kelah yang juga pengamal perubatan, Dr Ab Aziz Al Safi Ismail (kiri) sewaktu melawat Tapak Penternakan Ikan Kelah di Chicha, Pasir Tumboh, Kota Bharu semalam. — Gambar Bernama

Beliau berkata bidang ini mampu mengisi kelompongan golongan itu dalam subsektor perikanan yang kini dilihat semakin diabaikan atau berkurangan.

“Mungkin golongan muda masa kini tidak lagi tertarik menjadi nelayan namun penternakan ikan kelah merupakan satu program yang cukup menarik kerana ia mampu menjana keuntungan yang lumayan kepada pengusaha.

“Ia sekali gus dapat menambah produktiviti makanan khususnya dalam subsektor ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Tapak Penternakan Ikan Kelah di Chicha, Pasir Tumboh, di sini, semalam.

Che Abdullah berkata kerajaan akan sentiasa menyokong mana-mana aktiviti yang berkaitan pertanian dan penternakan menerusi peruntukan yang disalurkan kepada kementeriannya sepanjang masa.

Sementara itu, pengusaha tapak penternakan ikan kelah tersebut yang juga pengamal perubatan, Dr Ab Aziz Al Safi Ismail, berkata idea menternak ikan kelah tercetus selepas hasil kajiannya mendapati ikan kelah mempunyai kolagen yang tinggi dan sesuai untuk dijadikan tampalan kulit bagi pesak1t kencing manis.

“Sebelum ini kulit ikan tilapia digunakan untuk tujuan berkenaan namun tahap kolagennya sedikit kurang berbanding ikan kelah, justeru saya merasa terpanggil untuk memelihara ikan kelah ini untuk tujuan bioperubatan.

“Selain itu, sisiknya boleh diproses untuk dijadikan kolagen manakala isinya boleh dijadikan pil untuk meningkatkan tenaga ba,tin dan lebih kuat berbanding V1agra,” katanya.

Beliau berkata dari segi pasaran pula, permintaan terhadap ikan kelah mencecah kira-kira enam tan sebulan dan setakat ini pengusaha ikan kelah tempatan hanya mampu menghasilkan jumlah tersebut dalam tempoh setahun.

“Justeru, permintaan terhadap ikan kelah ini amatlah tinggi kerana pasarannya masih lagi luas dan kurang diceburi oleh penternak lain.

“Harga ikan kelah di pasaran juga amat mahal iaitu kira-kira RM500 bagi satu kilogram dan ikan kelah boleh dijual daripada benih sehingga tempoh matang 30 bulan,” jelasnya. — BERNAMA

Leave a Comment