Tanda-Tanda Buah DURIAN Mula Nak Gugur – TIPS Memetik Buah Durian Matang

1.  Warna duri atau kulit – warna hujung duri menjadi coklat tua apabila buah cukup matang, iaitu bahagian tapak duri dan lurah di antara duri berwarna cerah.

2. Ciri-ciri lurah pada buah – Lurah atau alur di antara tapak duri mengembang dan warna bertambah gelap apabila buah matang.

3. Tangkai buah – Pada tangkai ini terdapat bahagian yang dipanggil ‘absis’ iaitu bahagian yang akan memisahkan buah daripada pokok (menyebabkan buah luruh) apabila buah masak.

Ketika buah belum matang, keseluruhan tangkai kelihatan sama besar. Apabila buah mencapai peringkat matang, bahagian ‘absis’ kelihatan membengkak.

Kredit fb Dusun Tok Bak/ durian D99

4. Buah boleh dipetik apabila garisan absis sudah terbentuk sebahagian atau sepenuhnya. Garisan absis yang terbentuk sepenuhnya mengelilingi tangkai menandakan buah hampir GUGUR. Tanda sebegini jelas pada klon Chanee, Monthong dan juga D24 dan D99

5. Keanjalan hujung duri – Buah yang matang biasanya mempunyai hujung duri yang anjal atau liut. Manakala buah yang belum matang mempunyai hujung duri yang keras.

6. Garis pangsa – Ruangan tempat isi atau ulas isi pada buah durian dipanggil pangsa. Buah durian biasanya mempunyai 5 pangsa.

Garisan pangsa itu garisan yang memisahkan pangsa-pangsa ini akan jelas kelihatan pada kulit buah apabila buah sudah matang. Garisan pangsa kelihatan lebih jelas pada buah yang lebih matang.

7. Bunyi apabila buah diketuk – Buah yang matang berbunyi kosong apabila diketuk dengan kayu atau parang, manakala buah yang belum matang berbunyi padat.

8. Cairan tangkai buah – Apabila tangkai buah dituris, cairan akan mengalir keluar berwarna jernih dan manis rasanya. Bagi buah yang belum matang, cairan adalah pekat dan melekat pada jari apabila disentuh, tidak manis.

9. Bagi durian D24, tanda kematangan yang paling ketara ialah pembengkakan bahagian absis pada tangkai buah dan pembetukan garisan pangsa.

10. Cuaca – Keadaan yang panas dan kering boleh mempercepat kematangan buah durian kadang-kadang sehingga 10 hari.

11. Pengiraan hari mengikut kalendar – Kaedah ini melibatkan bilangan hari dari peringkat bunga kembang atau putik sehingga buah boleh dipetik. Untuk memudahkan penuaian, TULIS tarikh bila pokok durian berbunga dalam sesuatu musim.

Biasanya tarikh bunga kembang dikira pada masa lebih kurang 70% bunga durian sudah kembang. Umumnya buah durian mencapai kematangan di antara 90 dan 150 hari selepas bunga kembang bergantung pada kultivar atau klon.

TIPS MEMETIK BUAH DURIAN MATANG

1. Buah durian yang telah matang, dipetik dengan memotong tangkai buah 3-4 cm ke atas dari zon absis. Tangkai buah biasanya dipotong dengan pisau tajam atau gunting.

2. Buah yang telah dipetik tidak boleh diletakkan di atas permukaan tanah tanpa dialas bagi mengelakkan pencemaran kulat semasa pemeraman.

3. Sebaiknya buah durian terus diletakkan di dalam bakul atau bekas yang sesuai. Bagi pokok yang tinggi, buah boleh dipetik dengan menggunakan tangga atau memanjat pokok tersebut.

4. Bagi mengelakkan buah terjatuh ke tanah dan rosak, buah yang dipetik dimasukkan ke dalam bekas kecil seperti baldi dan kemudian diturunkan dengan tali.

4. Seorang pekerja lain perlu berada di bawah pokok untuk menyambut buah durian dan dimasukkan ke dalam bakul mengumpul. Buah juga boleh diturunkan dengan tali sebiji demi sebiji dengan mengikatkan tali pada tangkainya.

Semoga ilmu ini bermanfaat buat semua followers page Pertanian Satu Perniagaan.Jangan lupa share di facebook anda terima kasih – Sifudurian

Kredit: Amin Agro Technology

Leave a Comment