1. Ibadah qurban seringkali dijalankan ketika Raya Aidiladha. Ibadah ini merupakan aktiviti penyembelihan binatang ternakan untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala pada Hari Raya Haji dan tiga Hari Tasyri’ yang sering diamalkan oleh orang Islam.
2. Terdapat beberapa syarat untuk melakukan ibadah qurban ini. Bagi umur binatang yang sah hukumnya untuk dijadikan binatang qurban adalah unta – berumur 5 tahun masuk ke 6 tahun, lembu/kerbau/kambing – 2 tahun masuk ke 3 tahun. Biri-biri/kibas yang sudah berusia setahun masuk kedua atau gigi hadapan sudah bersalin walaupun belum cukup umur TETAPI mesti melebihi 6 bulan.
3. Antara binatang yang tidak boleh dijadikan qurban adalah binatang yang mempunyai kecacatan seperti tidak bertelinga atau terpotong telinga walau sedikit, ekor dan lidahnya terpotong, binatang yang kurus dan kurang dagingnya, berkudis kerana dagingya mungkin rosak, buta mata, tempang dan bunting.
4. Tetapi sekiranya kecacatannya adalah semula jadi atau tidak disengajakan seperti tidak bertanduk, patah tanduk, terbelah telinga, berlubang telinga tanpa hilang daging,asal dilahirkan tidak berekor, tertanggal giginya, tidak mempunyai kemaluan dan binatang yang dikebiri. Ianya sah untuk dijadikan haiwan qurban.
5. Disebabkan ibadah ini adalah ibadah qurban oleh Islam. Maka, penyembelihan perlulah dilakukan oleh orang Islam.
6. Mereka yang berkongsi qurban lembu dan unta tidak boleh melebihi daripada tujuh orang di mana seorang menyumbangkan 1/7 bahagian.
7. Kelebihan melakukan ibadah qurban bagi orang Islam adalah dapat menebus dosa kecil. Selain itu, mendapat kebajikan bagi setiap bulu binatang Korban, memperolehi kedudukan mulia di sisi Allah Ta’ala dan banyak lagi.
8. Golongan yang digalakkan untuk melakukan ibadah ini adalah golongan yang mempunyai lebihan harta sebanyak nilaian harga binatang qurban daripada keperluan dan keperluan orang di bawah tanggungannya.
9. Golongan yang dituntut untuk melakukan ibadah qurban ini adalah yang beragama Islam, Seorang yang merdeka (bukan hamba), telah mencapai akil baligh, bermukim atau bermusafir dan mempunyai kemampuan.
10. Waktu yang sesuai untuk melakukan aktiviti qurban ini adalah setelah selesai sembahyang hari Raya dan bacaan khutbah iaitu matahari naik sekadar segalah.
Artikel ini dipetik dari Korban Aqiqah dan ditulis semula oleh Sifu Durian.