Cara Tanam Longan

Longan adalah sejenis buah yang isinya meliputi biji dan isinya boleh dimakan segar atau dibuat jus. Ada pelbagai jenis longan antaranya Edaw, Chompoo, berlian, ping pong, Biew Kiew dan banyak lagi.

Sebaiknya jika tanam longan, pilih benih yang sudah dikawinkan atau di tut dan bukan disemai dari biji kerana ia berbuah agak lambat.

Keperluan Asas Tanaman

Iklim: Sub tropika, Taburan hujan diantara 1200-1400, Altitud: 300-600 m dari aras laut, pH tanah : 5.5-6.0, Jenis tanah : Tanah lanar sungai yang bertekstur halus, kawasan bukit yang tidak terlalu curam juga sesuai.

Penyediaan Kawasan

Kawasan perlu dibersihkan. Kawasan rendah – parit perlu disediakan. Lubang kawasan perlu disediakan sebulan sebelum penanaman – saiz 60 cm x 60 cm x 60 cm.

Lubang perlu ditabur kapur GML sebanyak 0.5kg/lubang (jika pH tanah kurang 4.5) + 10kg bahan organan + Baja TSP 250g digaul dalam lubang 2-3 minggu sebelum penanaman.

Penanaman di Ladang

Jarak tanaman longan yang disyorkan ialah 9 meter (m) x 9 m dengan menggunakan sistem segi empat sama. Jarak tanaman lain yang sesuai ialah 14m antara baris x 10m antara pokok.

Kepadatan menanam ialah 166 pokok untuk satu hektar. Jarak boleh didapati selepas menebang pokok sebanyak 50 % pada tahunn ke-9 penanaman.

Pembajaan

Peringkat belum matang  – Gabungan baja organik pada kadar 10kg/pokok/tahun dengan kekerapan 3-4 kali setahun. Baja subur NPK 15:15:15 ditambah dengan kadar 1-4 kg/tahun.

Berikut adalah jadual pembajaan longan peringkat matang:

2-4 minggu lepas berputik tabur dengan baja NPK 15:15:15 dengan kadar 1kg/pokok untuk pembentukan buah.

1 bulan sebelum tuai ditabur dengan baja NPK 13:13:21 dengan kadar 1kg/pokok untuk kemanisan buah.

Manakala sepanjang peringkat berbuah pokok perlu di sembur dengan baja cecair, racun kulat dan racun serangga mengikut sukatan pada label untuk tujuan pembesaran buah dan hasil yang bermutu.

2 minggu selepas memungut hasil, GML dan baja organan kalsium nitrat perlu ditabur sebagai baja tambahan untuk menggalakan pertumbuhan pucuk baru dan kesuburan pokok.

1 bulan sebelum pokok mengeluarkan bunga (buah), tabur dengan baja NPK 12:12:17 dengan akdar 2kg setiap pokok.

Pemangkasan

Pemangkasan pembentukan – Mula-mula guna sistem batang tunggal sehingga tinggi longan 60 cm. Pangkasan pertama dibuat. Biarkan 3 cabang utama tumbuh.  Pangkas pula cabang ini pada 30-45cm dan biar 3 cabang lagi tumbuh dari setiap cabang utama. Dahan akan tumbuh 3-4 dahan. Ini menjadikan kanopi longan mempunyai 27-36 dahan.

Pemangkasan penjagaan – Pangkas untuk mendapat bentuk “open center”-untuk menggalakkan cahaya matahari masuk ke dalam kanopi. Ia sekaligus mengurangkan risiko penyakit pada pokok.

Pemangkasan Bunga dan Buah – Pemangkasan dilakukan 2 kali jika perlu sahaja. Kadar pemangkasan bergantung pada kesuburan pokok dan jumlah buah. Jika buah sangat lebat akan menjejaskan pertumbuhan dan mengurangkan hasil pada tahun berikutnya.

Pemangkasan perlu dilakukan jika buah terlalu lebat untuk menjaga pertumbuhan dan kualiti buah dan pokok untuk tahun berikutnya.

Teknik aruhan longan – Longan mengambil masa sekitar 5 hingga 7 bulan untuk matang bergantung kepada kultivar. Buah yang dipotong perlu segera disimpan dan elakkan daripada terdedah kepada cahaya matahari. Buah yang baik dijual dalam keadaan bertangkai.

Selamat bercucuk tanam – Sifudurian

Leave a Comment