Idea Ternak Ayam Kampung Di Kebun Getah

PADANG BESAR: Pandemik Co­v1d 19 yang masih belum ada tanda-tanda untuk pulih terus memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat. Namun masih ramai dalam kalangan rakyat pantas bangkit mencari inisiatif menjana pendapatan untuk meneruskan kesinambu­ngan hidup.

Seorang peneroka dari Felda Chuping, Abdul Khair Hashim, 67, mengambil inisiatif mengusahakan ternakan ayam kampung di kebun getah miliknya bagi mencari pendapatan sampingan berikutan harga getah tidak menentu.

Idea menternak ayam itu tercetus semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan peringkat permulaan hanya sekitar 10 ekor ayam sahaja yang dilepas di sekitar kebun getah tersebut.

Kini, selepas tiga bulan me­ngusahakan ternakan tersebut, ayam kampung yang dipelihara Abdul Khair sudah mencecah lebih 2,000 ekor dan dia mampu menjana pendapatan lumayan sehingga RM3,000 sebulan melalui jualan ayam-ayam berkenaan.

Abdul Khair memanfaatkan ruang kebun getah seluas 2.4 hektar miliknya itu dengan membina kira-kira lapan reban ayam di lorong-lorong kawasan pokok getah itu, sekali gus tidak mengganggu tanaman berkenaan.

Hasil usaha keras bapa kepada empat orang anak itu dalam mencari rezeki, dia kini bukan sahaja memperoleh hasil daripada menoreh getah, malah mampu menambah pendapatan melalui ternakan ayam berkenaan.

Ujarnya, menyedari hasil getah yang tidak menentu mendorong dia untuk memanfaatkan ruang di kawasan kebun tersebut dengan ternakan ayam selain menanam serai wangi, halia serta beberapa jenis tanaman lain.

“Bermula dengan lima hingga 10 ekor ayam, saya kemudian membeli 500 ekor anak ayam dan mula membina reban di kawasan ini.

Dalam dua bulan, ayam yang diternak itu sudah boleh dijual kepada pelanggan.

“Saya mampu menjana pendapatan daripada hasil ternakan ayam ini antara RM2,000 sehingga RM3,000 sebulan. Malah, serai dan tanaman lain juga membawa pendapatan sampingan. Dulu, hasil getah ha­nya sekitar RM600 hingga RM800 sahaja sebulan, dengan ternakan tersebut saya mampu menambah pendapatan,” katanya ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Felda negeri, Izan Asmawi Habidan menyeru pe­neroka khususnya golongan belia untuk menceburi bidang ternakan bagi menjana pendapatan tambahan – UTUSAN ONLINE

Leave a Comment