Tanah Haram Musang King Di Raub Akan Dikosongkan Bila-Bila Masa

Kuantan: Kerajaan Pahang bersyukur di atas keputusan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan sebanyak 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri.

Justeru, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, operasi penguatkuasaan pengosongan tanah ditanam pokok durian Musang King akan dilaksanakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Katanya, kerajaan negeri juga mengesahkan tiada lagi tempoh masa diberikan kepada semua pekebun terbabit yang meneroka tanah tersebut secara haram.

“Pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini, kita bersetuju bahawa tindakan penguatkuasaan akan dilakukan dalam tempoh segera,” katanya ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan pekebun durian Musang King di sekitar Raub.

Beliau berucap demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Wan Rosdy menjelaskan, penguatkuasaan itu dilaksanakan seperti kes penerokaan tanah secara haram di Lembah Bertam dan Sungai Ichat di Cameron Highlands.

Hari ini, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan sebanyak 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan tersebut dalam prosiding dengan hanya pihak terbabit dibenarkan masuk ke dalam mahkamah, difahamkan atas faktor penjarakan sosial dan peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua plaintif memaklumkan keputusan itu kepada media selepas prosiding tamat.

Siew berkata, mahkamah memberikan dua alasan menolak permohonan plaintif, iaitu pekebun berkenaan tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.

“Selain itu, mahkamah juga mendapati pekebun terlibat adalah penceroboh (di tanah berkenaan). Sebagai pihak yang menceroboh, mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan sebarang permohonan semakan kehakiman ini,” ujarnya.

Siew berkata mahkamah juga memutuskan supaya plaintif menjelaskan kos sebanyak RM10,000 kepada Jabatan Peguam Negara – Harian Metro

UPDATE TERBARU (5 JANUARI 2021)

Pekebun Durian Musang King di Raub dapat tangguh pengosongan tanah

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk menangguhkan notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan Pahang sehingga rayuan mereka diselesaikan.

Panel tiga hakim, dianggotai Datuk Yaacob Md Sam, S Nantha Balan dan Datuk M Gunalan, membuat keputusan tersebut pada prosiding yang dijalankan menerusi aplikasi zoom.

“Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan untuk menangguhkan semua prosiding berhubung notis pengosongan sementara menunggu rayuan selesai terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran untuk semakan kehakiman,” jelas peguam, Siew Choon Jern yang mewakili semua plaintif berkenaan.

Choon Jern juga berkata, tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar rayuan itu.

Selain beliau, plaintif juga diwakili peguam, Brendan Navin Siva, Chua Pei Nee dan Lim Pit Feng.

Pada 23 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan pekebun untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah terbabit.

Hakim berpendapat, pekebun berkenaan tidak seharusnya membuat permohonan itu kerana notis pengosongan yang dikeluarkan oleh pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.

Selain itu, mahkamah juga mendapati pekebun terbabit adalah penceroboh di tanah berkenaan dan tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.

Pekebun memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam pokok durian Musang King di sekitar Raub, lebih kurang 96 kilometer dari sini, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.

Seramai 110 pekebun memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos tahun lalu, manakala bakinya membuat permohonan yang sama pada 9 September.

Mereka menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Semua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dan Farahah Mohd Nazari.

Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun tersebut kepada Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah berkenaan kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. – BERNAMA

Leave a Comment