Hobi Lepas Pencen, Jual Seekor RM5000, Daging RM65 Sekilo

“TIDAK sangka, menternak rusa mampu menjana pendapatan walaupun dagingnya agak mahal,” kata pesara kerajaan, Mohd Zaid Zakaria, 58.

Beliau yang tinggal di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai, Kelantan menternak rusa sejak lapan tahun lepas selepas bersara daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Ujarnya, pada peringkat awal, dia menternak rusa hanya sekadar hobi semata-mata untuk memenuhi masa lapang.

“Sebagai orang pencen, saya mempunyai banyak masa terluang. Tetapi saya tidak boleh duduk diam kerana sudah terbiasa bekerja sejak dari dulu, saya mula mencari sesuatu idea untuk dilakukan.

“Oleh itu, saya ambil inisiatif menternak rusa untuk memenuhi masa yang terluang daripada membazir begitu sahaja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini oleh Harian Metro.

Sebagai permulaan, dia mengeluarkan bajet permulaan sebanyak RM13,500 untuk membeli lima rusa induk daripada seorang penternak di Sungai Jin, Kuantan, Pahang.

Katanya, rusa perlu dikurung di dalam kandang sekurang-kurangnya enam jam sehari supaya mudah dijinakkan.

Menurutnya lagi, tanpa pengalaman dia tidak menyangka ternakan rusa baka jenis Timorensis itu cepat membiak.

“Melihat keadaan itu saya jadi exited dan mula nampak potensi besar apabila permintaan terhadap daging rusa meningkat biarpun harganya agak mahal.

“Saya mula serius menternak rusa dengan membeli beberapa ekor sedikit demi sedikit untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Bukan saja ada yang nak beli daging, malah tidak kurang pula yang mahu membeli rusa hidup hingga ada permintaan dari luar negeri Kelantan.

“Setakat ini saya sudah menjual sudah 11 rusa dan kini ada 13 ekor lagi termasuk enam rusa betina menunggu masa untuk beranak,” katanya.

Selain menjual daging rusa dengan harga RM65 sekilogram, beliau juga menjual rusa yang masih hidup antara RM2,000 hingga RM5,000 seekor.

Beliau berkata, bidang ternakan haiwan itu juga jarang diceburi oleh orang ramai kerana kerumitan menjaganya.

“Rusa ini perlu dijaga sepanjang masa kerana rusa yang baru dipindahkan masih liar dan sering merempuh pagar. Selain itu, daun kayu perlu diberi sekali sehari dan dedak tiga kali sehari sebagai makanannya.

“Saya dan isteri mengambil masa lebih kurang dua tahun untuk menjinakkan rusa sehingga kami boleh menggosok badan dan kepalanya sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, menternak rusa tidak memerlukan kos yang tinggi dan kaedah penjagaan pula jauh lebih jimat berbanding haiwan lain seperti kambing dan lembu.

Beliau berkata, kawasan ternak rusa itu mempunyai seluas 0.8 hektar berdekatan rumah dan menyediakan tempat seperti habitat asalnya di hutan.

“Untuk keselesaan rusa, saya juga membuat kandang yang lebih luas dan memagar kawasan sekeliling supaya rusa bebas bergerak,”katanya.

Rusa juga perlu disediakan kemudahan kolam air untuk memudahkan rusa minum air bersih.

Admin – apa kata anda? sudah baca jangan lupa tinggalkan pendapat di ruangan komen dibawah. Terima kasih sudi membaca.

Leave a Comment