Potong Akar Atau Tidak Sebelum Tanam?

Baru-baru ini hangat perbincangan tentang kaedah memotong akar sebelum tanam bahan tanaman dari polibeg. Penunjuk cara kaedah tersebut memberi alasan perlu potong bagi menggalakan pertumbuhan pokok yang lebih sihat dan cerdas.

Kaedah ini mendapat kritikan keras dari mereka yang tidak bersetuju kerana berpendapat bahawa memotong akar atau melukakan akar akan menyebabkan pokok mudah diserang patogen yang menjadi penyebab penyakit.

Pendapat yang mana yang betul?

Penulis bersetuju bahawa melukakan akar akan mengundang risiko penyakit kepada tanaman dan perkara ini sememangnya terbukti dari sudut sains, kajian mahupun amalan agronomi di lapangan. Walaubagaimanapun, akar bahan tanaman perlu dipotong atau dilakukan pembetulan dalam keadaan-keadaan tertentu seperti:

1. Akar sedia ada tidak lagi efisyen seperti menanam benih kelapa dan nenas.

2. Akar telah berpusing dan berpintal dalam polibeg seperti dalam gambar diatas.

Kali ini kita akan memfokuskan kepada masalah akar pada nombor 2 kerana perbincangan sekarang ini berkisar tentang masalah ini sebenarnya. Masalah akar berpusing ini timbul apabila bahan tanaman disimpan terlalu lama dalam polibeg selain juga boleh terjadi sendiri di lapangan kesan dari pemampatan tanah, kekurangan oksigen dalam tanah, tanam terlalu dalam, dan sungkupan yang tidak betul. Langkah memotong akar ini sepatutnya menjadi cara terakhir akibat kaedah semaian bahan tanaman yang tidak betul.

Akar berpusing ini akan menyebabkan pokok mengalami kekurangan nutrien, tidak cukup air, kurang pegangan pada tanah (mudah tumbang), batang merekah, mati dahan dan keguguran daun pramatang.

Jadi langkah sesuai atau penyelesaian untuk mengelak terjadi masalah pertumbuhan akar seperti ini adalah:

1. Jangan simpan bahan tanaman terlalu lama dalam polibeg.

2. Gunakan saiz polibeg yang sesuai dengan tempoh masa semaian bahan tanaman.

3. Lakukan pembetulan dan penambahbaikan pada akar jika perlu.

Semoga dapat memberi sedikit pencerahan kepada rakan penanam semua.

Selemat berkebun! salam pertanian satu perniagaan.

Kredit Fb: Hisham Rahim / Image: UF Laura Sanagorski

Leave a Comment