Siapa sangka bahawa bergelar usahawan tani adalah mudah? Kerugian akibat faktor luaran seperti cuaca dan serangan penyakit, lambakan hasil tanaman antara cabaran dalam pertanian di sebalik pendapatan lumayan yang dijana hasil daripada berbudi kepada tanah.
Hamid Yahya, 45, tidak pernah berputus asa untuk bergelar usahawan tani, malah terus memburu azam untuk keluar daripada kepompong petani konvensional iaitu tanam, tunggu, tuai dan tinggal dengan mengusahakan tanaman rock melon (tembikai wangi) secara fertigasi terbuka.
Katanya lagi, pengalaman beberapa kali gagal dalam tanaman yang diusahakan membuatkan anak jati Klang ini lebih berhati-hati dalam memilih jenis tanaman yang ingin diusahakan.
Hamid berkongsi kisahnya bersusah payah dahulu kala, kini beliau, akhirnya bangun kembali dan terus gigih mengumpul kekuatan serta menimba seberapa banyak ilmu pertanian dengan menghadiri kursus yang dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian.
Tanaman rock melon di Kampung Perepat bermula pada tahun 2010, apabila Hamid bertekad untuk terus berbakti kepada tanah di kampung halaman dengan mengusahakan tanaman berkenaan. Dengan modal permulaan sebanyak RM40,000, beliau meneruskan tanaman rock melon jenis Sukata F1 Glamour dari Jepun, manakala tanah dan baja untuk semaian diperoleh dari Jerman.
Selepas hampir enam tahun, hasil tanaman rock melon yang diusahakan dengan bantuan FAMA di tanah seluas 3.2 hektar berjaya menjana pendapatan sehingga lima angka sebulan.

Kaedah yang digunakan oleh beliau adalah kaedah fertigasi secara terbuka kerana ia mudah dan senang dikawal. Kita hanya perlu memastikan benih yang baik, tanah semaian bermutu, sistem pengairan sempurna dan semburan racun serangga yang sesuai mengikut keperluan tanaman.
Kongsi beliau lagi, buah yang sudah matang selepas ditanam 70 hari boleh dituai apabila tahap kemanisannya melebihi 12 brix. Ketika ini, berat buah melebihi dua kilogram (kg) untuk dikelaskan sebagai Gred A manakala kurang dari 1.5 kg dimasukkan dalam kategori Gred B.
Kebunnya mampu menghasilkan antara 60 hingga 100 tan setahun bergantung kepada keadaan cuaca dan pekerja bagi menampung permintaan domestik. Hasil pengeluarannya akan diambil FAMA dan pemborong tempatan pada harga RM3.70 sekilogram, manakala harga runcit pasaran tempatan kini mampu mencecah RM8 sekilogram.
Selain itu, beliau menetapkan sasaran untuk memasuki pasaran Dubai selewat-lewatnya awal tahun depan berikutan terdapat permintaan tinggi dari negara terbabit.
Kredit: Harian Metro