(Kreatif) Rezeki Musim PKP, Sudah 100 Lebih Terjual Dengan Harga RM70 Satu

“Tak sangka sungguh kerusi tayar terpakai yang dihasilkan untuk mengisi masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) enam bulan lalu mendapat sambutan menggalakan dan kini menjadi sumber pendapatanyang lumayan,” kata Mat Jam Ijam, 59.

Peneroka Felda Jengka 24 itu berkata, ketika PKP, masa beliau banyak terluang di rumah kerana tidak boleh keluar, menyebabkan beliau sering melayari media sosial dan terjumpa idea kreatif membuat kerusi dari tayar terpakai ini.

“Dari situ sifat ingin mencuba, membuat, apatah lagi di rumah ini terdapat banyak longgokan tayar lama di dalam stor yang sebelum ini kami dijadikan untuk menanam bunga.

“Saya mula meniru idea tersebut dengan membuat sikit perubahan dan ternyata ia menjadi dan siap empat kerusi dan letakkan di depan rumah sebagai kerusi santai untuk keluarga sambil minum petang,”ujarnya.

Mat Jam menggunakan peralatan asas untuk membuat kerusi tersebut, iaitu tayar terpakai, tali dan pita pelekat selain gerudi sebagai alat penebuk lubang.

“Sebuah kerusi memerlukan tiga tayar dengan satu daripadanya diukir dan dipotong khas untuk dijadikan penyandar.

“Saya membuat kerusi ini pelbagai saiz, bergantung kepada jenis tayar yang dipakai dan dijual dengan harga RM60 ke RM70 setiap satu,” katanya menerusi Harian Metro

Beliau berkata, kerusi tayar terpakai ini agak selesa diduduki dan dijadikan kerusi santai unik selain landskap menarik terutama di kawasan luar rumah kerana ia tahan lasak dan tahan cuaca panas atau hujan.

Menurutnya, kerusi unik tersebut mendapat perhatian peneroka dan anak muda di Maran apabila melihat kerusi itudi depan rumah saya yang tempat duduknya berwarna-warni dan mereka mula menyebarkan melalui Facebook sehingga menjadi tular.

Katanya, sehingga kini dia sudah menjual lebih 100 kerusi itu di kalangan peneroka Felda Jengka dan orang luar dan setiap hampir setiap hari ada orang membuat tempahan.

MAT Jam bersama kerusi tayar terpakai yang dihasilkannya. FOTO Roselan Ab Malek (gambar atas)

Leave a Comment