DUA faktor dalam penternakan ketam lumpur memberi pulangan lumayan ialah permintaan tinggi dan penggunaan teknologi dapat membantu mengurangkan risiko kematian ternakan.
Menurut Ahli Biologi Marin RAS Aquaculture, Nik Nurasyikin Nik Mohamad Azmi, 26, jumlah import ketam lumpur di Johor Bahru, Johor sahaja mencecah 25 sehingga 35 tan sebulan.
“Penternakan ketam antara penternakan berpotensi tinggi kerana boleh mendatangkan keuntungan lumayan kepada penternak berdasarkan permintaan cukup tinggi dalam pasaran tempatan.
“Melihat daerah Johor Bharu sendiri tidak kurang 25 tan ketam diperlukan untuk menampung permintaan pengusaha restoran atau peminat hidangan terbabit.
“Purata harga jualan bagi ketam ini adalah sekitar RM60 hingga ke RM65 sekilogram dengan jangkaan pendapatan boleh diraih sekitar RM1.5 juta sebulan.
Margin keuntungan ialah sekitar 20 hingga 30 peratus dan boleh mencapai 30 hingga 50 peratus menjelang musim perayaan,” ujarnya.
Bagi Ras Aquaculture sendiri, kata Nik Nurasyikin, kapasiti ketam dibekalkan firma kejuruteraan akuakultur yang berpusat di Kluang itu sekitar 300 hingga ke 500 kilogram bagi daerah tersebut.
“Terdapat empat spesies ketam lumpur yang dikenal pasti iaitu Scylla serrata, Scylla paramamosain, Scylla olivacea dan Scylla tranquebarica. Spesies yang biasa di ditemui di paya bakau Malaysia adalah Scylla olivacea dan Scylla tranquebarica.
“Spesies ketam lumpur ini boleh dikenal pasti dengan melihat kepada perbezaan corak dan warna sepit. Setiap spesies memerlukan kadar kemasinan yang berbeza untuk mereka membesar dan matang.
“Habitat asal ketam lumpur adalah di kawasan paya bakau dengan kadar kemasinan dari 15ppt (nisbah bahagian garam dalam setiap 1000 bahagian air contoh: 15:1,000) sehingga 25ppt,” katanya.
Tabiat ketam lumpur betina juga biasanya akan menetaskan anaknya di kawasan air laut yang mempunyai kemasinan lebih tinggi. Atas sebab itu ketam betina jarang ditemui di kawasan paya bakau menyebabkan ia sukar didapati di pasar tempatan.
Menjelaskan teknologi diperkenalkan RAS Aquaculture iaitu cara penternakan ketam lumpur di dalam kotak secara menegak.
“Untuk ketam lumpur, sistem yang kami gunakan ialah sistem air kitar semula (Recirculating system). Sistem ini memuatkan 1,000 kotak ketam yang memerlukan isi padu air kira-kira 14 tan.
“Sistem air kitar semula ini memerlukan sistem penapisan yang efesien supaya sisa makanan, sisa buangan dan bahan toksik dalam air dapat dibuang, sebelum dikitar semula ke dalam kotak ketam.

“Sistem penapisan yang baik wajib dilengkapi penapis bio, penapis pasir dan penapis (ultraviolet) UV yang sesuai dengan isi padu air serta jumlah ketam.
“Kebaikan sistem kitaran semula ini amat menjimatkan untuk penternak yang jauh dari sumber air masin. Ini kerana air masin yang dihasilkan sendiri boleh diguna pakai semula dengan penukaran air yang minimum,” katanya.
Kaedah itu juga memastikan tiada sisa buangan yang merbahaya daripada aktiviti penternakan kepada persekitaran luar.
Cabaran teknologi terbabit pula adalah dari segi penyelenggaraan dan reka bentuk. Reka bentuk yang tidak baik akan menyebabkan penternak perlu kerap melakukan penyelenggaraan.
Selain itu, penjagaan kualiti air yang baik turut membantu penternak menjual ketam lumpur lebih cepat dan kurang kadar kematian. – Harian Metro