Kini warga Bangladesh dan Indonesia semakin berani ‘melanggar’ sektor selain daripada yang dibenarkan mereka bekerja di negara ini termasuk mulai menguasai ladang-ladang sayur khususnya di utara tanah air.Jika dulu kerjanya hanya mengambil upah tetapi kini mereka meneroka tanah ladang milik penduduk tempatan selain menjadi tauke kebun sayur-sayuran.
Malah mereka lebih bijak kerana menjual sayur-sayuran di pasar tempatan dengan harga yang lebih murah.Paling ketara, keadaan itu berlaku di kawasan Balik Pulau, Pulau Pinang dan di Kulim dan Sungai Petani di Kedah.
Nak tahu kenapa mereka lebih mudah menjadi pengusaha di Malaysia walaupun ini bukanlah negara mereka?Ini disebabkan mereka menggunakan konsep ‘Alibaba’ yang turut menguntungkan pemilik tanah yang juga warga tempatan yang mahu dapat untung yang cepat tanpa perlu berpenat lelah.
Namun, konsep ini boleh memakan diri sendiri apabila semakin luas kawasan pertanian yang akan didominasi warga asing yang sudah tentunya para pekerja terdiri daripada kalangan mereka.Di Pulau Pinang, warga asing terutamanya dari Bangladesh berpendapat, mengusahakan tanaman sayur-sayuran lebih berbaloi daripada bekerja makan gaji sebagai buruh binaan atau pekerja kontrak.
Tinjauan daripada Utusan Malaysia mendapati, tanah pertanian yang diusahakan beberapa warga Bangladesh berkenaan ditanam dengan pelbagai hasil tanaman hijau yang segar.Antara sayuran yang ditanam adalah bayam hijau dan merah, timun, kacang panjang, kangkung, sawi, peria, kubis, petola serta bendi.Bukan setakat itu, susunan tanaman juga dikelaskan mengikut jenis sayur-sayuran dengan deretan batas yang tersusun kemas serta selari.
Penguasaan warga asing itu turut didedahkan oleh Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Che Ani Mat Zain.Sebelum ini, katanya, golongan berkenaan didapati mengusahakan kebun sayur di tanah milik kerajaan dan tanah penduduk tempatan.Malah, beliau memberitahu, sebahagian daripada mereka juga menanam sayur di bawah talian elektrik voltan tinggi.
Difahamkan sebelum ini kira-kira 50 warga Bangladesh di sekitar negeri ini yang mengusahakan kebun sayur tetapi di kawasan yang tidak begitu luas.Mereka menanam sayur untuk dijual kepada beberapa pemborong dan mendapat hasil yang agak lumayan.
Sumber : Utusan Online