3 Bisnes Gulung Tikar Masa PKP, Kini Bangkit Jual Puyuh Bakar

GUA MUSANG: Pasangan suami isteri di Perasu, dekat sini, mengalami tiga kali perniagaan gulung tikar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac tahun lalu.

Kini mereka beralih kepada dua perniagaan baharu, iaitu menjual puyuh bakar dan air herba bermula PKP Januari lalu dan masih bertahan sehingga kini.

Wan Norazilah Wan Dollah, 34, berkata, tiga perniagaan mereka yang telah ditutup ialah butik pengantin, jualan air tebu dan anak benih kelapa.

Beliau berkata, penutupan butik pengantin yang juga perniagaan pertamanya dan sumber rezeki sejak lima tahun sangat menyentuh emosinya.

Katanya, perniagaan itu gulung tikar tahun lalu kerana kekurangan tempah akibat tiada majlis perkahwinan yang dilangsungkan masa PKP.

“Nasib kami kurang baik selepas suami, Anuar Abdullah, 49, yang bekerja sebagai pemandu lori telah diberhenti kerja.

“Selepas itu, kami menjual air tebu bersama benih pokok kelapa tetapi tidak panjang kerana kurang permintaan,” katanya, di sini hari ini, menerusi Berita Harian.

Wan Norazilah berkata, sejak Januari lalu, dia dan suami cuba menjual puyuh bakar dalam pasu dan air herba.

Katanya, jualan puyuh bakar itu terhad kepada permintaan dalam talian sekitar daerah ini dan setakat ini permintaan dalam 150 ekor sehari.

“Jualan air herba mendapat permintaan daripada beberapa negeri,” ujarnya.

Wan Norazilah berkata, PKP sebanyak dua kali amat mencabar kepada keluarganya tetapi mereka tetap tabah menghadapi ujian ini.

“Apa yang lebih penting kesabaran menghadapi ujian Tuhan dan perlu memilih perniagaan yang boleh mendapat pulangan,” katanya – Berita Harian

About Sifudurian 312 Articles
BLOGGER, WRITER, FARMER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*