Apa Itu Cuka Kayu & Kegunaannya

Cuka kayu (wood vinegar) adalah produk sampingan hasil daripada pembakaran arang tanpa udara. Di Malaysia cuka kayu semakin mendapat sambutan kerana ia amat berguna kepada dunia pertanian.

Persoalan utama yang akan muncul mestilah apa manfaat cuka kayu pada tanaman saya?

Antara khasiat cuka kayu adalah:

Ia bertindak sebagai racun organik 100% dengan menjadi penangkis serangga perosak, mengawal pertumbuhan kulat merbahaya dan bakteria.

Membasmi kuman dan meneutralkan keasidan tanah, membaiki tahap pH dan menambah kepekatan nitrogen menjadikan tanah lebih subur dan baik.

Mengurangkan kerosakan oleh penyakit tumbuhan dan serangga musuh tanaman seperti belalang, ulat, semut dan sebagainya.

Mengurangkan penggunaan bahan kimia dan baja komersial sehingga 50%. Secara tidak langsung, ini dapat mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh bahan kimia.

Menambah jangka hayat batas tanaman, memanjangkan tempoh kesegaran sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan.

Menambah kemanisan buah-buahan dan tebu, mempercepatkan proses kompos terhasil serta mengurangkan bau busuk kompos.

Menghilangkan bau bahan buangan ladang dan membasmi kuman ladang ternakan lembu, ayam dan rumah burung walet.

Mengikut kajian yang dilakukan di Jepun, cuka kayu asli mengandungi lebih daripada 200 bahan kimia berguna seperti asid asetik, formaldehyde, ethyl-valerate, methanol dan tar. Bahan-bahan ini mampu memberi kesan yang bagus kepada tumbuhan dan juga tanah.

Secara umum, cuka kayu dapat meningkatkan kualiti tanah, mengawal makhluk perosak dan menggalakkan pertumbuhan pokok. Walaupun begitu, jika terlebih dos cuka kayu boleh mendatangkan kesan toksik.

Satu kajian di Thailand, menunjukkan semburan cuka kayu pada dusun buah mampu meningkatkan hasil dusun tersebut berbanding semburan tanpa cuka kayu.

Saintis di Thailand mendapati apabila cuka kayu disembur di atas tanah sekeliling tanaman, terdapat peningkatan bilangan mikrob baik dan merangsang pertumbuhan akar. Tambahan pula produk sampingan arang kayu ini mampu meningkatkan pertahanan pokok terhadap penyakit.

Cuka kayu selamat untuk digunakan dan tidak memberi kesan buruk kepada manusia kerana ia diperbuat secara organik tanpa sebarang campuran bahan kimia.

Boleh dikatakan cuka kayu ibarat hormon baik yang akan diserap dalam daun, batang dan akar pokok. Ini seterusnya menjadikan tumbuhan lebih kuat, daun menghijau dan rintang (tahan serangan) pada perosak dan penyakit.

Apa yang menarik lagi, tempoh penyimpanan cuka kayu boleh mencecah sehingga 5 tahun lamanya.

Cara Membuat Cuka Kayu

Salah satu kaedah membuat cuka kayu

Bagi memahami komponen dalam cuka kayu dan bagaimana ia bertindak adalah lebih baik jika kita faham bagaimana cara cuka kayu dihasilkan.

Bahan utama dalam kayu adalah serat, selulosa, hemiselulosa dan lignin. Apabila sebatian ini dibakar tanpa udara (proses ini dikenali sebagai pirolisis) beberapa sebatian baharu terbentuk. Jenis sebatian yang terbentuk bergantung pada ketinggian suhu api tersebut.

Cuka Kayu Arang Bakau Malaysia

Pembakaran kayu bakau untuk dijadikan arang menghasilkan produk sampingan iaitu cuka kayu. Semasa proses pembakaran ini, selulosa dipirolisis dahulu dan diikuti lignin.

Proses pengkarbonan ini boleh dilihat secara fizikal melalui asap yang keluar dari kebuk pembakaran. Bermula dengan asap putih, asap akrid, asap tajam dan asap keungguan. Setiap warna asap ini menjadi tanda setiap tahap proses pembakaran arang.

Apabila asap ini keluar dari corong kebuk pembakaran, lalu akan menyejuk dan membentuk cuka kayu.

Kegunaan dan Kebaikan Cuka Kayu

Terdapat pelbagai kegunaan dan kebaikan cuka kayu. Ini bermula dengan melihat cuka kayu mengandungi pelbagai bahan aktif di dalamnya. Ini membezakan ia daripada bahan kimia pertanian yang ada 2 atau 3 sahaja bahan aktif. Jika kita nak bandingkan dengan ubat, cuka kayu boleh dikatakan sebagai ubat herba. Kekuatannya bukan datang daripada satu bahan sahaja tetapi gabungan antara 200 lebih bahan yang terkandung didalamnya.

Kombinasi inilah membuatkkan cuka kayu menjadi bahan yang mampu mengawal penyakit dan perosak, meningkatkan bakteria baik, dan membantu perkembangan akar.

Cuka kayu bagus dalam memperbanyakkan bakteria dalam kompos. Hal ini menjadikan ia sebagai bahan aktivator kompos yang bagus.

Kajian menunjukkan semburan cuka kayu pada kompos mempercepatkan penghasilan kompos sehingga 2 kali ganda. Jika kompos itu mengambil masa 2 bulan untuk terhasil, dengan adanya semburan cuka kayu, hanya perlu satu bulan untuk terbentuk kompos siap.

Mengurangkan Penggunaan Racun Kimia

Di Filipina, petani mendapati cuka kayu dapat mengurangkan kebergantungan pada racun kimia. Mereka mencampurkan cuka kayu separuh daripada jumlah racun yang disyorkan.

Contohnya jika satu tong pam 20 L perlu dimasukkan racun kimia sebanyak 100mL, maka hanya guna 50mL campur dengan 50mL cuka kayu. Petani dapat menjimatkan sehingga 50% jumlah racun yang diperlukan.

Gunakanlah Secara Sederhana

Walaupun banyak manfaat, kita janganlah guna cuka kayu pada kepekatan yang berlebihan. Saya boleh beri analogi cuka kayu seperti vitamin kepada manusia. Kalau kerap kita guna pun tiada manfaatnya pada diri. Kalau doktor sarankan makan pil vitamin sehari sekali, ikutlah nasihat doktor. Jika terlebih dos boleh memudaratkan diri.

Begitu jugalah dengan cuka kayu. Jangan sebab teruja dengan manfaatnya, kita sembur setiap hari.

Hal ini dinyatakan oleh petani Jepun. Melalui pemerhatian mereka pada kebun berhampiran kilang penghasilan arang kayu. Tanaman yang ditanam berdekatan 100m tidaklah sesubur tanaman dengan jarak 100-1000m dari kilang.

Ini jelas menunjukkan kesederhanaan itu lebih penting dalam kita menggunakan cuka kayu pada tanaman.

Sukatan Cuka Kayu

Bagi sayur, pokok buah dan pokok bunga, disyorkan guna nisbah 2:1000. Contohnya 2mL cuka kayu campur dengan 1L air. Jika guna tong pam 20 L, campur dengan 40 mL cuka kayu. Sembur pada daun, batang dan pangkal serta tanah di sekiling pokok.

Semburan perlulah dibuat seminggu sekali agar dapat memberi kesan yang optimum. Jika tanaman kita sangat bermasalah, boleh tingkatkan kadar semburan kepada 3 kali seminggu.

Apabila tanaman mula pulih, kurangkan semburan kepada 1 kali seminggu. Macam saya, akan set setiap hari Sabtu atau Ahad untuk sembur pokok-pokok saya dengan cuka kayu.

Jika tanaman telah teruk diserang penyakit atau perosak, bolehlah kita membuat penyemburan lebih kerap seperti 2-3 kali semburan dalam seminggu.

Kalau ada baja cecair atau foliar lain lagi bagus campur sekali.

Perlu ingat bahawa cuka kayu sendiri tidak lengkap bagi memberi kesuburan optimal pada tumbuhan. Gabungan cuka kayu dan baja organik mampu memberi hasil yang terbaik.

Cara beli Cuka Kayu

Bagi yang ingin membeli cuka kayu, saya sarankan beli di platform cuka kayu. Saya sendiri telah mencubanya dan respon pengguna amat memberangsangkan. Anda juga boleh beli di Lazada atau shopee, atau beli terus di kedai kimia atau kedai pertanian yang berhapiran kawasan anda.

Semoga bermanfaat. Jangan lupa share terima kasih.

Kredit: Kebun Bandar

About Sifudurian 316 Articles
BLOGGER, WRITER, FARMER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*