Berhenti Kerja Pejabat, Tanam Cili Fertigasi Dengan Tuaian RM60,000 Dua Musim

Pemilik ladang, Mohd Hafis Mohd Zain (kanan) bersama rakannya, Muhammad Hafis Mahiyar (kiri) melihat hasil tanaman cili yang diusahakannya dengan kaedah fertigasi di Kampung Api Api, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 28 JULAI 2017.

Mohd Hafis Mohd Zain (gambar kanan) bersama rakannya, Muhammad Hafis Mahiyar melihat hasil tanaman cili yang diusahakan menggunakan kaedah fertigasi di Kampung Api Api, Pontian, Johor.

PONTIAN – Dua lepasan universiti tempatan nekad meninggalkan kerja di pejabat dan menjadikan tanaman cili sebagai sumber pendapatan yang cukup lumayan.

Menggunakan kaedah penanaman fertigasi tanpa tanah dan menjimatkan masa, penggunaan tanah terhad dan penjimatan penggunaan air, Mohd Hafis Mohd Zin dan Muhammad Hafiz Mahyar, masing-masing berusia 29 tahun kini mengusahakan 4,000 pokok di Kampung Api-Api, dekat sini.

Mohd Hafis Mohd Zin, graduan Marin dari Universiti Malaysia Terengganu dan Muhammad Hafiz Mahyar, Universiti Teknologi Malaysia juga anak kelahiran Pontian tidak menyangka hobi menanam cili secara suka-suka pada permulaannya membolehkan mereka mengaut pulangan lumayan.

“Bukan senang mendapat pekerjaan sesuai sekarang kerana saingan cukup sengit membuatkan saya nekad berhenti kerja dan serius dengan projek penanaman cili ini.

“Sebelum berhenti saya mula tanam cili di halaman rumah mak, ayah setiap kali pulang kampung hujung minggu. Dua kali menuai, saya memperoleh hasil sebanyak RM60,000,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Menyewa tanah seluas seekar, Mohd Hafis dan Muhammad Hafiz semakin serius dengan ladang fertigasi cili dan usahanya dipermudahkan dengan bantuan Jabatan Pertanian Johor bernilai RM30,000 di bawah Program Galak Usahawan.

Ini tidak termasuk dengan pelbagai kursus dan bimbingan berterusan daripada Jabatan Pertanian.

Muhammad Hafiz pula berbangga apabila hasil kerja kerasnya berjaya dipasarkan di pasar raya dan pasar awam di sekitar Pekan Nanas, Pontian, Benut dan beberapa daerah lain di negeri itu.

“Saya dan rakan terharu dengan kesungguhan dan komitmen pelbagai agensi kerajaan, khususnya Jabatan Pertanian dalam membantu kami menjadi petani yang berjaya,” ujarnya.

Tidak mahu hanya terlibat dalam penanaman cili, kedua-dua rakan baik itu ingin melebarkan pendapatan mereka dengan menanam terung, timun dan rock melon.

“Kita sudah merancang ke arah itu dan akan melaksanakan sedikit masa lagi,” kata Muhammad Hafiz dengan cukup yakin.

Seronok dengan kejayaan dua anak muda itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong mahu kejayaan Mohd Hafis dan Muhammad Hafiz menjadi pendorong semangat kepada anak-anak muda lain untuk terlibat dalam bidang pertanian.

“Kalau boleh kami mahu lebih ramai anak muda melibatkan diri dalam bidang pertanian yang menawarkan banyak peluang.

“Sumber makanan dalam negara tidak mencukupi dan kita perlu mengimport makanan dengan banyak, maka peluang ini wajar diambil,” katanya yang ditemui semasa melawat ladang fertigasi cili mereka. – MalaysiaGazette

About Sifudurian 314 Articles
BLOGGER, WRITER, FARMER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*