Berhenti Kerja Wartawan, Kini Tanam Sayur Secara Komersial…

MENJADI seorang petani bukanlah kerjaya pilihan bagi kebanyakan orang disebabkan bidang ini memerlukan seseorang bekerja di bawah panas matahari terik, bergelumang dengan tanah, kotoran dan menghabiskan masa seharian untuk memerhatikan tanaman.

Namun begitu, bagi mereka yang gigih berusaha disusuli dengan kesabaran yang tinggi, bidang pertanian bukan sahaja memberikan kepuasan tersendiri malah mampu menjana pulangan yang lumayan.

Perkara ini dibuktikan melalui usaha Khairul Amin Ahmad, 32, anak jati Pulau Pinang yang kini mengusahakan kebun sayur-sayuran seluas lima ekar di Kampung Aman, Tasek Gelugor..

Menurut Khairul Amin, beliau memulakan kerjaya sebagai seorang wartawan sukan di sebuah agensi rangkaian televisyen milik kerajaan sebelum membuat keputusan beralih ke sektor perladangan.

Selepas tiga tahun, Khairul Amin memutuskan untuk mengusahakan sendiri kebun sayur bermula dengan menanam lima jenis sayuran seperti bayam, bendi, sawi, kangkung dan kacang panjang di atas tanah seluas dua ekar.

“Saya mula menceburkan diri dalam sektor pertanian dengan bekerja bersama abang ipar selama kira-kira empat tahun sebelum mengambil keputusan untuk berdikari dengan membuka kebun sayuran sendiri yang diusahakan bersama dengan isteri pada pertengahan tahun 2015.

“Bermodalkan modal sebanyak RM15,000, saya mengusahakan kebun pertama dekat Pokok Sena seluas dua ekar dengan dibantu oleh dua orang pekerja.

“Selepas setahun, saya mengambil keputusan untuk melebarkan lagi kawasan kebun sayuran kepada lima ekar dengan bantuan lapan orang pekerja selepas mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Tanaman sayuran utama yang saya usahakan adalah kangkung, sawi dan bayam serta beberapa jenis tanaman sampingan seperti bendi, terung dan kacang panjang bergantung kepada permintaan pelanggan,” ujarnya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui dekat Tasek Gelugor baru-baru ini.

Katanya lagi, anggaran hasil tanaman sayuran yang dikutip dalam sehari adalah sebanyak 1200 kilogram (kg) atau 1.2 tan dengan kekerapan tuaian sebanyak dua kali sehari.

“Hasil tuaian sebelah pagi akan terus dihantar ke beberapa daerah di Kedah seperti Gurun, Sik, Alor Setar, Guar Cempedak manakala bahagian petang adalah untuk pasar-pasar borong serta pasar raya seperti Mydin dan Sunshine di negeri ini.

“Sebelum pandemik C0V1D-19, sayur-sayuran ini turut dihantar ke luar negara melalui beberapa kapal persiaran dekat Jeti Swettenham melalui salah seorang pemborong di sana.

“Justeru, selepas ditolak kesemua perbelanjaan bagi membeli racun, benih dan kelengkapan pertanian, kita masih memperoleh keuntungan kira-kira RM15,000 dalam sebulan bergantung kepada harga sayur-sayuran di pasaran,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa seseorang yang mahu berkecimpung dalam bidang pertanian perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutamanya mengenai tanah dan kaedah penjagaan tanaman.

“Selain kena buang rasa malu, jika mahu jadi petani juga memerlukan ilmu pengetahuan contohnya berkaitan nilai keasidan atau kealkalian (pH) sesuatu tanah kerana ia amat berkait rapat dengan pertumbuhan tanaman yang ditanam.

“Petani juga perlu mempunyai kesabaran yang tinggi kerana pertanian bukanlah bidang pekerjaan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat sebaliknya perlu menunggu beberapa bulan sebelum menuai hasil,” katanya.

Bercakap soal cabaran, Khairul Amin memberitahu bahawa keadaan paling sukar bagi seseorang petani adalah cuaca terutamanaya apabila terjadi hujan lebat tanah akan menjadi lebih berasid.

“Selain itu, mencari pasaran juga adalah antara cabaran yang dihadapi petani kerana kita sendiri perlu mengenal pasti pasaran untuk jualan sayur-sayuran yang ditanam.

“Oleh itu, saya nasihatkan kepada mereka yang berhasrat untuk memulakan bidang pertanian supaya mencari pemborong untuk membeli sayuran yang diusahakan terlebih dahulu supaya hasil yang dituai dapat dijual di pasaran.

“Bagaimanapun, apa yang paling merisaukan para petani adalah apabila berlaku lambakan sayuran di pasaran yang mana keadaan ini akan menjejaskan harga jualan dan kadang-kadang hasil yang dikutip langsung tidak terjual,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairul Amin berkata bidang pertanian masih lagi terbuka luas kepada sesiapa yang berminat untuk menceburkan diri dalam sektor ini.

“Nasihat saya kepada mereka yang mahu memulakan sektor pertanian adalah jangan takutkan kegagalan kerana setiap perniagaan pasti ada turun naik atau untung dan rugi, yang peting kita kena terus berusaha,” katanya lagi.

Pada pendapat penulis, selain seorang yang peramah, sikap positif yang ditunjukkan encik Khairul Amin mungkin menjadi antara penyumbang kepada kejayaan yang dikecapi beliau sehingga hari ini – Buletin Mutiara

About Sifudurian 316 Articles
BLOGGER, WRITER, FARMER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*