Bermula Daripada Hobi, Jadi Jutawan Barangan Antik

KUALA LUMPUR – Minatnya terhadap barangan antik mula bercambah sejak di bangku sekolah lagi apabila melihat ayah, bapa saudara dan datuknya memiliki beberapa barangan yang mempunyai nilai sejarah dan kisahnya tersendiri.

Sejak itu dalam diam, Heddy MN, 45, yang meminati mata pelajaran Sejarah, berazam untuk mempunyai koleksi barang antik sendiri kerana nilai estetika yang ada pada setiap barangan tersebut.

Sejak itu, bagaikan ‘ketag1h’, Heddy mula mengumpul satu demi satu barangan sehingga tidak menyedari beliau kini memiliki lebih 30,000 barangan antik yang dianggar bernilai lebih jutaan ringgit yang disimpan rapi di kedainya, di rumah serta tempat penyimpanan khas.  

Koleksi majalah lama dan poster dari negara matahari terbit menjadi antara barang antik pertama yang dibelinya sewaktu masih menuntut di universiti dengan menggunakan wang poket sendiri.

Semua barang antik itu bukan sahaja diperoleh dari dalam  negara tetapi juga dari luar negara seperti United Kingdom, Jerman, Itali, Portugal dan Jepun.

“Buat masa ini, antara koleksi barangan antik yang paling bernilai yang saya miliki adalah sebiji balang tertutup Nyonya Peranakan kerana ia dipercayai dimiliki oleh seorang kapitan China dari tahun 1860-an.

“Saya juga mempunyai koleksi barangan tembaga dan gangsa dari China dari Dinasti Han dipercayai dari tahun 206 SM (Sebelum Masihi) hingga 220 SM,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di galerinya di Pasar Seni, baru-baru ini.

Pada masa sama, anak kelahiran Melaka ini juga mempunyai kira-kira 250 tabung lama dari sekitar tahun 1950-an hingga lewat 1970-an daripada pelbagai institusi bank yang ada di zaman itu antaranya Chung Khiaw Bank OCBC, Malayan Banking dan United Malayan Banking Corporation yang menjadi buruan pengumpul barangan antik.

“Tabung-tabung lama ini merupakan keluaran edisi terhad dalam bentuk haiwan seperti ayam, badak sumbu, gajah dan beruang bagi menarik minat kanak-kanak untuk menabung,” ujarnya.

Uniknya tabung-tabung antik ini, kebanyakannya diperbuat daripada campuran bahan besi, timah dan tembaga itu, dipercayai hanya beberapa orang sahaja di negara ini yang masih memiliki barangan seperti itu.  

Sehubungan itu, dalam usaha memperkenalkan tabung lama ini khususnya generasi muda, Heddy yang pernah berkecimpung dalam industri kewangan selama dua dekad bercadang untuk mengeluarkan buku mewah atau coffee table book yang dijangka siap awal tahun hadapan.

Katanya penghasilan buku ini bertujuan untuk menjadi bahan rujukan lengkap tentang tabung-tabung lama yang pernah dikeluarkan oleh institusi perbankan negara yang pernah ada di negara ini suatu ketika dahulu.

Dalam keasyikan penulis membelek kesemua barangan itu, Heddy turut menunjukkan enam set cawan dan piring dengan logo lama Malaysia Airlines (MAS) keluaran tahun 1972 serta set catur edisi terhad Looney Tunes dari Warner Bros keluaran lewat 1980-an. 

Ia dibuat dengan piuter dan diwarnakan satu persatu dengan tangan selain mahkota bagi buah ‘Raja’ dan ‘Permaisuri’ disadur dengan emas 18 karat.

Menurutnya hobi mengumpul barangan antik ini dianggap bukan sahaja membantu memelihara keunikan barangan lama itu tetapi secara langsung dapat menjaga khazanah negara agar tidak ‘terlepas’ ke negara lain.

Heddy mengakui ada negara yang ‘cuba’ mendapatkan koleksi barangan Nyonya Peranakan yang dimilikinya dengan harga yang cukup lumayan, namun beliau masih belum tergerak hati untuk menjualnya kerana ia merupakan khazanah yang amat berharga pada negara.

“Saya ingin menjual semua koleksi yang ada kepada mereka yang meminatinya, tetapi bukan kepada orang luar.

“Jadi saya berharap, ada pihak berkaitan yang dapat menjaga khazanah ini, kita jangan ulang kesilapan lalu kerana banyak dokumen dan barangan sejarah yang kita miliki suatu ketika dahulu, kini berada di muzium-muzium luar negara,” katanya yang juga pemilik galeri, Kota Pinang Enterprise – Sumber asal BERNAMA.COM

About admin 484 Articles
to update

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*