Bermula Dengan 20 ekor Lembu, Kini Berkembang Sehingga 200 ekor Lembu – Kisah Inspirasi

Berusia 33 tahun tidak menghalang beliau untuk menerokai bidang penternakan. ketika orang lain berpusu-pusu menghadiri temuduga kerja berbeza pula dengan Mohd Hafizi Mohd Taf, anak jati Kampung Kundur Hulu.

Dari seorang penternak lembu yang berjaya, anak muda ini sedang berkecimpung dalam perniagaan kedai makan dan katering pula. Hafizi berkata, menjaga lembu bukan asing baginya kerana sudah mengikuti bapanya, juga seorang penternak lembu sejak usia 10 tahun lagi.

Ketika kawan-kawan yang lain sibuk keluar ke kota mencari pekerjaan, beliau kekal tinggal di kampung dan berkecimpung dalam bidang penternakan.

Menurut Hafizi, beliau berjaya mendapat bantuan daripada Jabatan Veterinar di bawah Projek Mini Perladangan kontrak Sistem Pawah pada tahun 2001 di bawah Program My Kampung My Future. Beliau dibekalkan dengan 20 ekor lembu. Dalam kontrak tersebut, Hafizi perlu mengembalikan semula 20 anak lembu kepada jabatan berkenaan dalam tempoh lima tahun.

Selepas hampir 17 tahun berlalu, Udo Farm yang dimiliki Hafizi kini mempunyai 200 ekor lembu yang diternak di ladang dan 60 di fedlot. Walaupun tempoh hampir dua dekad namun ianya sangat membuahkan hasil.

Selain mendapat baka lembu, Jabatan Veterinar turut memberinya mesin rumput dan suntikan kepada lembu. Sehingga kini, jabatan Veterinar masih terus memberi tunjuk ajar dan nasihat kepadanya. Hafizi memberitahu, kerja menternak lembu ini memang nampak renyah tapi tidak sukar dan waktu kerja pula lebih fleksibel serta pendapatan lebih lumayan berbanding makan gaji.

Seekor lembu jantan boleh dijual antara RM4,000 hingga RM5,000 seekor dan betina antara RM3,000 hingga RM4,000. Lembu-lembu ternakan dari Udo Farm dipasarkan di pasaran setempat kerana permintaan tinggi terutama dalam kalangan usahawan daging salai dan penjual daging di pasar dan pasar tani.

Alternatif lain yang diambil bagi mengekalkan perniagaannya adalah Hafizi mahu memiliki rumah penyembelihan sendiri bagi melengkapkan pakej perniagaan ternakan yang diceburi. Yang penting usaha dan jangan sesekali putus asa, pesan Hafizi kepada anak muda yang ingin menceburi bidang ini.

Artikel ini dipetik dari Sarawak Voice dan ditulis semula oleh Sifu Durian.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*