Dulu Juruterbang, Kini Usahawan Tani Berjaya Di Usia Muda!

SERDANG: Siapa sangka seorang pemuda yang pada satu ketika terbang tinggi di langit biru kini mengerjakan tanah dan bergelar usahawan muda dalam sektor pertanian.

Ramana K Naidu, 27, yang pernah menjadi juruterbang berpangkalan di Bangkok, Thailand kini memandu jentera penuai di ladang jagung miliknya seluas hampir 60 hektar di Kuala Muda, Kedah.

Bercakap kepada BERNAMA di sini, anak muda itu berkata beliau meninggalkan kerjaya sebagai juruterbang pada 2012 berikutan krisis di negara jiran dan melibatkan diri dalam sektor pertanian kerana minat.

Namun, perolehan pertama sebanyak RM14,000 hasil jualan kacang panjang menjadikannya semakin bersemangat dan mendorong anak jati Kedah itu ke India, China dan Taiwan bagi mempelajari lebih banyak teknologi pertanian.

“Saya mula menggunakan teknologi seperti ‘corn planter’, ‘cultivator machine’ dan dron untuk membaja selain mencipta modul sendiri bagi meningkatkan kualiti hasil pertanian saya dan ia hasilnya amat memberansangkan” katanya yang juga antara peserta Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang di sini.

Modul beliau kini digunakan di beberapa buah negeri seperti Kelantan, Pahang, Johor dan negeri kelahirannya sendiri.

Ramana antara yang dipuji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya ketika merasmikan HPPNK2017 pada Khamis.

“Saya sangat gembira dan berasa dihargai ketika Perdana Menteri memuji diri saya. Saya rasa saya perlu lakukan lebih banyak lagi supaya terus jadi sumber inspirasi kepada golongan belia dan anak muda di negara kita,” katanya yang kini mengusahakan projek jagung bijirin.

Ramana yang juga perunding Lembaga Pertubuhan Peladang, berkata projek perintis tanaman jagung bijirinnya memberi pulangan yang amat memuaskan memandangkan bahan itu yang digunakan sebagai makanan ayam mendapat permintaan tinggi dan buat masa ini kerajaan membelanjakan kira-kira RM3.1 bilion untuk mengimport empat juta tan jagung bijirin setiap tahun.

Usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memperluas tanaman jagung bijirin sebagai makanan haiwan ternakan dalam usaha mengurangkan kebergantungan pada import dari luar negara tenah membuka peluang besar kepada usahawan tani tempatan.


Beliau juga menyeru kepada golongan generasi muda agar tidak ragu-ragu untuk menceburi bidang pertanian kerana sektor itu mampu menjana pendapatan yang tinggi.

Bertemakan ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’, HPPNK berlangsung selama empat hari hingga esok, menampilkan 600 gerai pameran dan jualan selain himpunan pelbagai program dalam bidang pertanian dan agromakanan. – BERNAMA

About Sifudurian 298 Articles
BLOGGER, WRITER, FARMER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*