Garis Panduan Skim Bantuan Pekebun Kecil (Petani, Penternak, Nelayan)

GARIS PANDUAN SKIM BANTUAN TANAMAN DAN AKTIVITI PELBAGAIAN LUAR BANDAR BAGI MEMBANTU PEKEBUN KECIL GETAH DAN KELAPA SAWIT

KELAYAKAN PESERTA.

Peserta yang layak terdiri dari pekebun kecil kelapa sawit atau getah yang mempunyai keluasan kebun 4 hektar atau kurang, termasuk peneroka skim pembangunan tanah agensi Kerajaan iaitu :-

i) Pekebun kecil kelapa sawit atau getah yang tidak layak menyertai skim tanaman semula yang sedia ada oleh kerana pokok yang belum cukup umur untuk ditanam semula.

ii) Pekebun kecil kelapa sawit atau getah yang mnyai kurang dari 4 hektar dan mempunyai pokok yang sesuai untuk ditanam semula tetapi tidak bersetutanah mereka bagi program tanam semula secara berkelompok yang dijalankan oleh agensi pembangunan pekebun kecil seperti FELDA, FELCRA atau RISDA.

iii) Pekebun kelapa sawit atau getah yang mempunyai pokok yang sesuai untuk ditanam semula dan bersetuju menyerahkan tanah mereka bagi program tanam semula secara kelompok yang dijalankan oleh agensi-agensi pembangunan pekebun kecil FELCRA, RISDA, FELDA, LGM, LIGS dan SLDB.

SKOP BANTUAN

Bantuan ini bertujuan untuk menggalakkan peserta menjalankan kegiatan-kegiatan menambah pendapatan dengan melaksanakan kegiatan-kegiatan pengeluaran bahan makanan seperti penanaman sayur-sayuran, buah-buahan, tanaman kontan, ternakan dan akuakultur. Peserta juga boleh menjalankan kegiatan pertanian lain seperti penanaman bunga-bungaan dan tapak semaian. Di samping itu, skim bantuan juga merangkumi industri hiliran seperti memproses bahan makanan, pembungkusan, pemasaran hasil pertanian, pengeluaran kraftangan dan pelancongan asas tani. Bantuan akan diberi dalam bentuk pemberian input, peralatan dan/atau perkhidmatan yang diperlukan untuk menjalankan projek menambah pendapatan yang dicadangkan. Justeru itu, bantuan adalah untuk pembelian bahan tanaman, baka ternakan, input pertanian, makanan haiwan serta kerja-kerja penyediaan kawasan dan penyediaan kemudahan-kemudahan yang berkaitan. Had bantuan bergantung kepada keperluan projek yang dicadangkan dan tidak melebihi RM 10,000 bagi setiap peserta yang layak.

Bagi negeri Sabah dan Sarawak, bantuan dalam bentuk wang tunai boleh dipertimbangkan. Tuntutan hendaklah dibuat dengan resit dan disahkan oleh Pengarah Pertanian Sabah dan Pengarah Pertanian Sarawak.

JENIS-JENIS PROJEK.

a) Projek Tanaman.

Projek ini akan memberi tumpuan kepada penanaman tanaman-tanaman jangka pendek di kawasan-kawasan kelapa sawit atau getah yang baru melaksanakan penanaman semula. Jenis tanaman yang dipilih ialah yang cepat mengeluarkan hasil seperti sayuran dan tanaman kontan termasuk jagung, pisang, betik , tembikai, nanas dan sebagainya.

Penanaman buah-buahan jenis kekal hanya akan digalakkan bagi kawasan-kawasan tanam semula getah yang mengamalkan “Sistem Pepagar” atau kawasan-kawasan kelapa sawit dan getah yang ingin bertukar kepada tanaman buah-buahan (Exit Scheme).

Selain dari tanaman makanan, galakkan juga akan diberikan kepada projek bunga-bungaan dan tapak semaian.

Contoh-contoh bantuan yang boleh dipertimbangkan ialah :

Pembersihan / penyediaan kawasan, Bajak / rotor / membina batas, Perparitan, Sistem pengairan, Benih / Bahan tanaman, Input Pertanian (kapor, baja, racun perosak), Pagar, Peralatan (pam air, pam penyembur), Rumah naungan.

b) Projek Ternakan

Projek ini memberi tumpuan kepada projek integrasi ternakan di kebun kelapa sawit atau getah. Di samping itu projek ternakan secara “feed lot” turut digalakkan. Contoh projek ialah ternakan lembu, biri-biri, ayam daging dan ayam kampung .

Contoh-contoh bantuan yang boleh dipertimbangkan ialah :- Baka ternakan, Kandang, Reban, Pagar, Makanan ternakan dan ubat-ubatan, Peralatan

c) Projek Perikanan

Projek ini akan melibatkan penukaran sebahagian dari kawasan getah atau kelapa sawit kepada kolam ikan untuk ternakan ikan air tawar. Selain daripada itu projek ini juga boleh dijalankan di luar kawasan (off farm) seperti projek ternakan ikan sangkar di kawasan tasek, lombong atau sungai.

Contoh-contoh bantuan yang boleh dipertimbangkan ialah :- Penyediaan kolam, Benih ikan/ udang, Makanan ikan dan ubat-ubatan, Sangkar ikan, Peralatan

d) Projek Industri Hiliran

Projek-projek yang boleh diusahakan ialah projek-projek yang boleh memberi nilai tambah terhadap hasil-hasil pertanian. Ini termasuklah aktiviti pemprosesan dan pengeluaran kueh tradisional. Contoh projek ialah kerepek pisang, kerepek ubi, keresik kelapa, nata de coco dan pengeluaran kueh-kueh tradisional seperti bahulu, dodol , cakar ayam dan lain-lain lagi. Selain dari pemprosesan bahan-bahan makanan, pengeluaran kraftangan menggunakan bahan-bahan dari hasil pertanian akan turut digalakkan.

Contoh-contoh bantuan yang boleh dipertimbangkan ialah :- Bangunan/Bengkel, Peralatan dan mesin, Alat-alat pembungkusan.

CARA PERMOHONAN

a) Permohonan Secara Individu

Permohanan secara individu hendaklah menggunakan borang yang disediakan ( Lampiran 1). Borang ini boleh didapati di Pejabat Pertanian Daerah, Pejabat Haiwan Daerah, Pejabat Perikanan Daerah, Pejabat RISDA Daerah, Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan, Pejabat FELDA , Pejabat FELCRA, Pejabat LGM Wilayah, Pejabat MPOB Wilayah, LIGS dan SLDB. Borang-borang yang telah diisi boleh dikembalikan ke salah satu dari pejabat-pejabat tersebut. Ketua pejabat berkenaan akan mengemukakan borang-borang permohonan kepada Pegawai Pertanian Daerah selaku Pengerusi JK Teknikal Peringkat Daerah. Semasa membuat permohonan, satu salinan fotostat geran tanah hendaklah disertakan.

Borang-borang permohonan dan salinan geran tanah yang diterima akan diproses oleh JK Teknikal Peringkat Daerah dan seterusnya akan dikemukakan kepada JK Penyelarasan Peringkat Negeri untuk kelulusan.

Pekebun kecil yang pasangan mereka (suami atau isteri) telah diberi bantuan tidak layak lagi memohon untuk bantuan walaupun mereka memiliki kebun getah atau kelapa sawit sendiri.

Bagi kebun getah atau kelapa sawit yang dimiliki oleh lebih daripada seorang, hanya satu permohonan sahaja akan dipertimbangkan dan bantuan yang akan diberi dihadkan pada RM10,000 juga.

Setiap pekebun kecil getah atau kelapa sawit layak memohon bantuan sekali sahaja.

b) Permohonan Melalui Agensi

Permohonan melalui agensi akan diuruskan oleh FELDA, RISDA dan FELCRA . Pihak FELDA, RISDA dan FELCRA akan menyediakan Kertas Cadangan Projek bagi setiap projek dan dikemukakan 3 salinan kepada JK Teknikal Peringkat Persekutuan untuk kelulusan. Peserta-peserta yang menyertai projek berkenaan perlu mengisi borang permohonan di Lampiran 1 juga.

Permohonan melalui agensi juga boleh dibuat oleh LPP, LGM, LIGS atau SLDB untuk pekebun-pekebun kecil getah dan kelapa sawit yang bukan peserta RISDA, FELCRA atau FELDA. Kertas cadangan dibuat oleh LPP, LGM, LIGS dan SLDB peringkat negeri dan dikemukakan sebanyak 3 salinan kepada JK Teknikal Peringkat Persekutuan untuk kelulusan.

PEMPROSESAN DAN KELULUSAN

a) Permohonan Individu

Apabila borang permohonan diterima oleh JK Teknikal Peringkat Daerah, Pengerusi akan minta Pejabat Daerah RISDA atau Pejabat Wilayah MPOB untuk pengesahan bahawa pemohon adalah seorang pekebun kecil getah atau pekebun kecil kelapa sawit. Selepas itu Pengerusi JK Teknikal Peringkat Daerah akan mengagihkan permohonan mengikut jenis projek yang dipohon kepada jabatan/agensi yang berkenaan di daerah/wilayah untuk mendapat ulasan kesesuaian projek seperti berikut:-

i) Projek Tanaman – Jabatan Pertanian, ii) Projek Perikanan – Jabatan Perikanan, iii) Projek Ternakan – Jabatan Perkhidmatan Haiwan, iv) Projek Industri Hiliran – Jabatan Pertanian/LPP

Selepas mendapat ulasan, Pengerusi JK Teknikal Peringkat Daerah akan mengemukakan permohonan kepada JK Penyelarasan Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Pengarah Pertanian Negeri. Kelulusan/penolakan permohonan bantuan akan dibuat oleh JK Penyelarasan Peringkat Negeri dalam mesyuaratnya. Keputusan mesyuarat diberi kepada Kementerian Pertanian supaya waran/cek boleh dikeluarkan kepada Jabatan/agensi negeri berkenaan mengikut projek. JK Penyelarasan Peringkat Negeri dimaklumkan tentang pengeluaran waran/cek.

b) Permohonan Secara Kumpulan Melalui Agensi

Setelah menerima permohonan dan kertas cadangan dari RISDA, FELCRA, FELDA, LGM, LIGS, SLDB atau LPP, Jawatankuasa Teknikal Peringkat Persekutuan hendaklah mengedarkan permohonan kepada JK Penyelarasan Peringkat Negeri untuk semakan. Pengerusi JK Penyelarasan Peringkat Negeri diminta mendapatkan ulasan dari Jabatan/agensi di negeri berkenaan seperti berikut:-

i) Projek Tanaman – Jabatan Pertanian & FAMA, ii) Projek Perikanan – Jabatan Perikanan & FAMA, iii) Projek Ternakan – Jabatan Perkhidmatan Haiwan & FAMA, iv) Projek Industri Hiliran – LPP & FAMA

Mesyuarat JK Penyelarasan Peringkat Negeri akan membuat perakuan terhadap permohonan RISDA, FELCRA, FELDA, LGM, LIGS, SLDB atau LPP berasaskan kepada ulasan yang diterima daripada jabatan/agensi di negeri berkenaan. Perakuan akan dikemukakan kepada JK Teknikal Peringkat Persekutuan untuk kelulusan. Keputusan akan dikemukakan kepada Kementerian Pertanian supaya waran/cek boleh dikeluarkan kepada RISDA, FELCRA, FELDA, LGM, LIGS, SLDB atau LPP. JK Teknikal Peringkat Persekutuan akan dimaklumkan tentang pengeluaran waran/cek.

PENGEDARAN BANTUAN

a) Permohonan Individu

Selepas waran/cek diterima dari Kementerian Pertanian, jabatan/agensi peringkat negeri yang terlibat akan bertanggungjawab untuk menguruskan pembelian input, peralatan dan/atau perkhidmatan supaya ianya boleh diedarkan kepada pemohon untuk pelaksanaan projek. Rekod-rekod pembelian, pengedaran dan penerimaan mesti disimpan.

b) Permohonan Melalui Agensi

Selepas waran/cek diterima daripada Kementerian Pertanian, agensi yang terbabit (RISDA, FELCRA, FELDA, LGM, LIGS, SLDB atau LPP) berkenaan akan bertanggungjawab untuk menguruskan perolehan input, peralatan dan/atau perkhidmatan yang diperlukan untuk menjalani projek. Rekod-rekod pembelian, pengedaran dan penerimaan mesti disimpan.

PEMANTAUAN

Pada keseluruhannya, pemantauan akan dijalankan di dua peringkat, iaitu:

i) JK Pemandu di Kementerian Pertanian, dan, ii) JK Penyelarasan Peringkat Negeri

Jabatan/agensi yang menerima waran/cek dikehendaki melaporkan setiap bulan mengenai kemajuan pelaksanaan skim bantuan. Di antara perkara-perkara yang perlu dilaporkan termasuklah:

i) Bilangan permohonan yang diterima, ii) Bilangan permohonan dan amaun yang dilulus, iii) Waran/cek yang diterima, iv) Pebelanjaan, v) Parameter teknikal kemajuan seperti keluasan tanaman yang siap ditanam, bilangan/keluasan kolam ikan yang dibina, bilangan ternakan yang dipelihara, hasil pengeluaran dan sebagainya
vi) Parameter ekonomik seperti pendapatan peserta, vii) Masalah-masalah pelaksanaan

TARIKH MULA SKIM BANTUAN

Skim bantuan ini akan bermula pada 1 Jun 2001.

Disediakan oleh: Kementerian Pertanian. Detail lanjut boleh klik Portal Rasmi Jabatan Perikanan Malaysia

About admin 484 Articles
to update

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*