Harga Mencecah $1,600 Sekilo, Guarana Mampu Menjadi Tanaman Alternatif Getah Dan Sawit

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi besar menjadi pengeluar tunggal produk guarana di Asia Tenggara jika kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membangunkannya sebagai tanaman alternatif bagi komoditi getah dan sawit.

Bagi tujuan tersebut, Koperasi Komuniti Selatan Bhd (KKSB) sudah memohon permit bagi membawa masuk biji benih guarana sebagai tanaman alternatif berpandukan sepenuhnya nasihat dan arahan Jabatan Biosekuriti Tumbuhan Malaysia.

Ia berikutan isu dakwaan penipuan yang membabitkan skim tanaman itu sebelum ini, selain keputusan kerajaan mengharamkan pengimportan biji dan bahan tanaman kerana mempunyai penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (SALB) yang membahayakan industri getah dan tanaman lain di Malaysia.

Penasihat Perniagaan KKSB, Datuk Seri Zakwanihafiz Ahmad Ansari, berkata walaupun industri sawit dan getah terjejas dengan kemerosotan harga, tanaman guarana masih mampu menjadi alternatif menjana pendapatan kerana nilai yang tinggi mencecah AS$1,600 sekilo bagi ekstrak 100 peratus.

Justeru, ujarnya.. KKSB sudah menjalankan kajian daya maju bagi membawa masuk benih terbabit termasuk dalam prosedur ketat merawat SALB di negara luar, proses kuarantin apabila sampai di Malaysia, dan mendapatkan bekalan benih dari negara lain selain Brazil.

“Permohonan permit ini bagi memperbaiki persepsi sebelum ini apabila hanya pihak tertentu boleh membawa masuk biji benih hingga menimbulkan pelbagai masalah, selain ia selaras dengan saranan kerajaan mengetepikan amalan monopoli yang berlaku sebelum ini.

“Pihak berminat untuk tanaman guarana perlu melalui koperasi yang dilantik di setiap negeri kerana proses pembelian biji benih guarana tidak lagi melalui individu bagi mengelakkan sebarang penipuan oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan,” ujarnya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, bagi menjernihkan sentimen negatif berlegar tanaman itu, KKSB akan mengeluarkan produk berasaskan guarana terlebih dulu bagi membuktikannya mampu menjana ekonomi di pasaran Global sebelum penanaman komersial di seluruh Malaysia, jika permitnya diluluskan kelak.

“Produk berasaskan tanaman guarana keluaran kami ini bakal dilancarkan selewat-lewatnya pada Oktober nanti.

“Manakala, bagi dana pelaburan yang berjaya diraih untuk pembangunan tanaman ini pula akan digunakan untuk membina tiga hingga empat kilang di negeri yang dikenal pasti bagi pemprosesan buah menghasilkan ekstrak,” katanya – Berita Harian

Artikel disiarkan pada tahun 2019 (berita harian)

About Sifudurian 316 Articles
BLOGGER, WRITER, FARMER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*