Idea Menternak Ikan Kelah Dalam Kolam

Kuala Berang: Membiak ikan kelah tidak semudah spesies ikan air tawar yang lain tetapi itu tidak menjadi halangan kepada seorang pemuda apabila menjadi individu pertama yang berjaya membiakkannya di negeri ini.

Mohd Azerri Mohd Radzali, 37, berasal dari Kampung Lubuk Periuk berkata, ikan kelah spesies yang sensitif iaitu ia tidak boleh dicucuk untuk melihat kematangan telur ketika proses pembenihannya.

Menurutnya, dalam setahun hanya tiga kali pembenihan boleh dilakukan iaitu pada bulan April, Ogos dan Disember tetapi dalam proses itu ia memerlukan kemahiran dan sekiranya tersilap langkah, telur ikan yang ingin disenyawakan tidak menjadi.

“Sebagai contoh, jika ingin dilakukan pembenihan pada bulan April, penternak perlu mengetahui tahap kesuburan iaitu sama ada minggu pertama, kedua, ketiga atau keempat untuk dilakukan persenyawaan pada bulan itu,” katanya yang mengusahakan Pusat Pembiakan Kelah dan Ikan Air Tawar.

Menceritakan pengalaman terbabit dalam pembiakan ikan kelah, Azerri berkata, ayahnya ada menternak ikan tersebut sejak 10 tahun lalu tetapi kaedah dan cara pemasarannya tidak menentu kerana hanya membeli daripada kaki pancing sebelum menjualnya semula.

“Melihat ikan kelah milik ayah ketika itu dalam lingkungan 600 ekor dan ada yang diserang penyakit, ia mendorong saya untuk mengambil alih sepenuhnya perusahaan itu dengan mengubah sistem kolam yang sedia ada.

“Bagi mengurangkan risiko kerugian ketika itu, saya terpaksa menjual sebahagian ikan-ikan tersebut dengan harga RM450 sekilogram bagi yang bersaiz di bawah satu kilogram (kg) dan RM650 bagi ikan lebih satu hingga dua kilogram manakala ikan yang mati dijual dengan harga RM150 hingga RM250.

“Sebaik bertemu dengan pakar penyelidik ikan kelah daripada Jabatan Perikanan, ia membolehkan saya mengubah landskap daripada membeli dan menjual, sekarang kepada membiak serta menjualnya.

“Cubaan membiak kali pertama pada bulan Disember tahun lalu tidak membuahkan hasil dan usaha kali kedua pada April berjaya membiak lebih 1,000 ekor anak ikan kelah,” katanya yang kini mempunyai 50 induk ikan kelah – Harian Metro

About admin 910 Articles
to update

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*