(Inspirasi) Potensi Ternakan Rusa – Harga Seekor Mencecah RM5,000, Daging RM90 Sekilogram!!

“BERMULA hanya sebagai hobi, saya tidak menyangka kini ia menjadi sebuah perniagaan. Benarlah, rezeki tidak pernah salah alamat jika kita rajin berusaha,” jelas usahawan agro ini.

Ternyata sepanjang sesi temu bual dengan Mazlan Jaafar, 53, memberi inspirasi bahawa aktiviti penternakan sebenarnya boleh dijadikan cabang perniagaan yang amat menguntungkan.

Pada 2012, usahawan ini membeli 10 ekor rusa baka Timorensis di Johor, kini daripada ia berkembang kepada lebih 70 ekor dan beliau pula menjadi penjual baka rusa di kawasan Kedah.

Bijak mengatur langkah dalam perniagaan yang berasaskan daging rusa, pada Februari 2018, Mazlan membuka pula sebuah restoran berdekatan ladang rusa miliknya yang dikenali sebagai Batas Ubi Deer Farm di Yan, Kedah.

Mazlan menjelaskan, pembukaan restoran itu adalah bagi meningkatkan pendapatan daripada hasil ternakan kerana nisbah keuntungan sekiranya hanya bergantung kepada penjualan daging mentah tidak begitu tinggi walaupun harga jualan daging rusa mampu mencecah RM90 sekilogram di pasaran.


DARIPADA sekadar hobi Mazlan menerokai bidang penternakan rusa. FOTO Zunnur Al Shafiq

“Harga daging rusa sememangnya amat mahal, tetapi kapasiti untuk kita memenuhi pasaran penjualan dagingnya belum mencukupi walaupun rusa ini adalah jenis haiwan ternakan yang senang membiak.

“Setiap tahun boleh dikatakan semua rusa betina saya bunting dan kadar kematian anak rusa juga sangat rendah, tetapi jumlah rusa yang ada di ladang saya masih tidak mencukupi sekiranya hanya tertumpu untuk perniagaan daging mentah,” ujarnya.

Ketika ini, Mazlan mempunyai tiga ekor rusa baka jantan, 38 induk betina, seekor anak rusa jantan dan mempunyai 32 anak rusa yang baru dilahirkan.

Mazlan berkata, menternak rusa bukan sesuatu yang susah kerana haiwan itu tidak perlu mempunyai penjagaan yang rapi. Cukup hanya memberi makan dua kali dalam sehari.

Katanya, kos untuk menternak rusa juga tidak terlalu tinggi kerana kos penyediaan makanan yang terdiri daripada campuran jagung dan hampas soya hanya sekitar RM3,000 sebulan.

“Selain itu, sepanjang pengalaman saya, haiwan ini sukar dijangkiti penyakit. Boleh dikatakan rusa ini dalam kategori haiwan ternakan yang lasak dan mudah dijaga.

“Perkara paling penting ialah kita perlu tahu mengenai makanan yang diberikan kepada rusa supaya daging sentiasa sedap walaupun dimasak dengan pelbagai cara,” ujarnya.

Menceritakan mengenai pengalaman kali pertama memiliki haiwan ternakan itu, Mazlan berkata, beliau hanya menggunakan tanah seluas 1,000 kaki persegi yang dijadikan kandang berbanding kini yang luas tanah diperlukan sekitar 0.8 hektar memandangkan jumlahnya semakin meningkat setiap tahun.

Katanya, baka rusa juga mendapat permintaan tinggi dan ia selalunya boleh dijual pada harga mencecah RM5,000 seekor bergantung kepada saiz, umur dan jantina. Kebiasaannya, rusa jantan lebih mahal berbanding rusa betina.

Ketika mengunjungi ladang rusa beliau, penulis melihat Mazlan juga menjadikan ladang rusa miliknya sebagai destinasi tarikan ekopelancongan kerana pengunjung yang datang untuk menjamu daging rusa turut dapat ‘bermesra’ dengan haiwan tersebut.

Beliau berkata, restoran miliknya dibuka hanya setiap Jumaat dan Sabtu dan hari lain ia dibuka sekiranya mendapat tempahan secara beramai-ramai.


MAKANAN yang terdapat di restoran berasaskan daging rusa. FOTO Zunnur Al Shafiq

“Daging rusa yang disembelih segar daripada ladang dihidangkan dalam konsep makanan Barat yang disediakan oleh chef kami sendiri. Malah, ramuan seperti sos yang disediakan untuk daging rusa panggang juga adalah ramuan daripada dapur kami sendiri.

“Setakat ini, boleh dikatakan setiap Jumaat dan Sabtu, restoran sentiasa penuh dan daging rusa yang disediakan kami mendapat pujian pelanggan kerana tidak liat serta tak berbau,” katanya.

Memandangkan Mazlan dilihat sebagai usahawan agro yang berjaya dalam bidang penternakan, beliau juga sering dijemput oleh pelbagai pihak untuk berkongsi pengalaman dalam bidang berkenaan.

Katanya, perkara paling penting dalam penternakan ialah setiap usahawan perlu bijak mempelbagaikan cabang perniagaan hasil daripada ternakan itu sendiri seperti menjadikannya sebagai pakej pelancongan dan restoran yang diusahakannya sekarang.

“Selain itu, kita juga perlu bijak melihat potensi, memandangkan pada asalnya saya hanya memiliki rusa yang dibeli pada harga RM3,000 seekor sekadar satu hobi dan apabila melihat ia mampu melahirkan anak, kita sudah tahu untuk mengambil peluangnya,” katanya kepada Harian Metro

About admin 484 Articles
to update

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*