“Kalau Nak Buat, Buat Sampai Jadi…”

1. Nur Hashimah berkata, dia nekad berhenti kerja dari sebuah syarikat swasta kerana mahu serius dalam bidang pertanian.

2. Dia terdorong untuk serius dalam bidang pertanian selepas melihat kejayaan rakannya yang mengusahakan tanaman cili padi di Kluang, Johor, mendapat pulangan lumayan.

3. “Walaupun kurang pengalaman dalam bidang perniagaan, tanpa berfikir panjang saya berhenti kerja, malah adik-beradik terutama abang menyokong keputusan saya.

4. “Saya kemudian mengikuti kursus teknik fertigasi anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPK Kuala Langat) sebelum menyewa tanah berkeluasan 1.2 hektar di Bukit Pelanduk.

5. “Buat permulaan saya mengeluarkan modal sekitar RM24,000 untuk mengatur kelengkapan fertigasi termasuk membeli 2,000 anak pokok cili yang diuruskan PPK Kuala Langat,” katanya, ketika ditemui, semalam.

6. Menurutnya, dia kemudian menambah sebanyak 4,000 pokok cili menjadikan jumlah keseluruhan 6,000 pokok cili.

7. “Setiap hari saya akan ke ladang untuk melihat dan memantau pokok cili. Saya memilih cili kerana mudah dijaga. Apatah lagi menggunakan kaedah moden yang tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai.

8. “Menggunakan kaedah penanaman secara fertigasi, saya tidak perlu membajak tanah, merumput mahupun meracun. Apabila sampai masa, saya akan menggantikan pokok lama dengan benih baru menggunakan beg semaian sama.

9. “Malah, sistem pengaliran air secara moden betul-betul menjimatkan tenaga kerja. Saya hanya perlu memasang alat jangka masa di tangki bekalan di mana ia akan membekalkan air secara automatik mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.

10. Katanya, penanaman cili dapat memberi hasil yang cepat iaitu dalam tempoh lima hingga enam bulan sahaja.

11. “Bagi musim pertama tuaian melibatkan 2,000 beg semaian, saya memperoleh kira-kira lima tan cili dengan pendapatan RM30,000 membuatkan saya terus bersemangat dan serius dalam bidang ini.

12. “Selain cili, saya juga mengusahakan tanaman sampingan seperti timun dan rock melon (4,000 pokok) kerana mahu pelbagaikan jenis tanaman selain mengikut permintaan semasa,” katanya.

13. Ibu kepada dua cahaya mata berusia sembilan dan 13 tahun itu berkata, soal pemasaran juga tidak menjadi masalah kerana semua cili dituai dihantar ke Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) melalui PPK Kuala Langat.

14. “Jabatan Pertanian Negeri Sembilan juga banyak membantu daripada segi khidmat nasihat. Selain itu saya juga banyak menimba pengetahuan melalui pembacaan di internet.

15. “Apabila mendapat hasil pertama, ia sangat memberangsangkan serta menambahkan keyakinan saya untuk menjadikan penanaman cili sebagai kerjaya baru,” katanya.

16. Diharap kisah Nur Hashimah dapat menyuntik semangat anda untuk berkecimpung dalam dunia pertanian yang mampu menjana pendapatan lumayan.

Sekiranya anda rasa artikel ini bermanfaat jangan lupa share terima kasih – Sifudurian

Kredit: Harian Metro

About Sifudurian 210 Articles
BLOGGER, WRITER, FARMER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*