(Kisah Inspirasi) Jualan 4 angka sehari, hobi tanam pokok bunga bawa pulangan lumayan…

(Gambar) SITI Aida Ramli menunjukkan keratan bunga ros Jepun yang diusahakan di laman rumahnya di Kampung Padang Siding, Perlis. UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

ARAU: Bermula sekadar hobi, seorang suri rumah dari Kampung Padang Siding di sini mampu menjana pendapatan empat angka sehari hasil tanaman bunga ros Jepun atau kembang 10 yang diusahakan di halaman rumah sejak lima tahun yang lalu.

Malah, laman depan rumah Siti Aida Ramli,37, itu juga sentiasa menjadi tumpuan orang ramai yang datang dari seluruh negara untuk membeli selain ingin melihat pemandangan indah apabila bunga berkenaan kembang mekar setiap waktu pagi.

Katanya, setiap tujuh keratan bunga ros Jepun pelbagai warna dijual dengan harga serendah RM2 dan sehari sebanyak 2,000 sehingga 3,000 keratan mampu terjual dengan pendapatan sekitar RM1,000 sehari.

Ibu kepada dua orang anak berusia 14 dan tujuh tahun itu juga menjual bunga tersebut melalui atas talian khususnya untuk pelanggan dari luar negeri ini yang dipromosi melalui akaun Facebooknya Laman Rj Aida Azizi.

Siti Aida memberitahu, terdapat lima jenis bunga ros Jepun pelbagai warna terdiri daripada Grandi, Jambul, Duna, Big, Carnation dan Tiara.

“Bunga ros Jepun ini tidak mempunyai banyak kerenah dan senang dijaga. Paling penting, pokok perlu diletakkan di bawah terik matahari selain diberi baja seminggu sekali.

“Saya sekadar ingin mengisi masa lapang ketika mula mengusahakan tanaman ini dengan permulaan sebanyak 60 pokok yang dibeli secara atas talian sebelum menambahnya secara berperingkat.

Kesemua bunga itu, ditanam di dalam tayar terpakai yang diasing mengikut jenis dan warna.

“Saya tidak sangka selepas lima tahun mengusahakan tanaman bunga ros Jepun, hobi saya itu akhirnya membawa pulangan,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah Siti Aida, dia turut menerima tempahan dari Brazil, Italy, Thailand dan Indonesia namun terpaksa menolaknya kerana bimbang berlaku kerosakan sebelum sampai ke tangan para pelanggan di luar negara itu.

Sementara itu, Siti Aida merancang menjadikan laman bunga ros Jepun itu sebagai salah sebuah lokasi tarikan pelancong di negeri ini.

“Saya sudah berjumpa Menteri Besar Perlis untuk memberitahu cadangan tersebut dan diharap mendapat perhatian. Setiap hari, pasti akan ada pengunjung singgah untuk melihat keindahan bunga tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

About admin 484 Articles
to update

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*