Panduan Tanam Halia (Lengkap) – Harga Sekilogram Mencecah RM16.00

PENGENALAN

Halia (Zingiber officinale Rsc.) merupakan tanaman yang diusahakan secara kecil-kecilan untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan. Rizom halia banyak digunakan sebagai rempah perasa dalam makanan dan ubat.

Halia ditanam samada sebagai tanaman tunggal atau selingan di tanah-tanah mineral dan gambut. Penanaman halia di tanah gambut mempunyai potensi sebagai tanaman kontan dan tanaman selingan. Halia biasanya ditanam di ladang-ladang nenas, kelapa sawit, getah, durian dan buah-buahan.

JENIS-JENIS HALIA

Jenis-jenis utama yang ditanam di negara ini ialah Halia Bentong, Halia Taiwan dan Halia Indonesia.

Jenis Bentong – Mempunyai rizom yang besar dan berisi bendalir (belendir dan berair). Warna keputih-putihan.

Jenis Taiwan – Mempunyai jari-jari rizom yang besar penuh berisi, berlendir dan sederhana pedas.

Jenis Indonesia – Mempunyai rizom yang panjang dan berwarna kuning muda.

PENANAMAN

Tanah dan Iklim:

Halia sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah termasuk tanah gembur yang mempunyai saliran baik serta gembur dan peroi, dan tidak menyekat tumbesaran rizom. Kajian menunjukkan halia hidup subur pada pH 5.5 hingga 6.5. Walau bagaimanapun ianya boleh juga ditanam di tanah gambut yang mempunyai pH 3.8. Halia memerlukan taburan hujan sebanyak 200 hingga 260 cm setahun dan ia juga perlu sedikit naungan.

PERSEDIAAN BAHAN TANAMAN

Halia ditanam daripada keratan rizom tua yang berusia lebih kurang sembilan bulan. Rizom yang berpenyakit perlu dimusnahkan untuk mengelakkan merebaknya penyakit bakteria dan kulat halia.

Rizom-rizom diletakkan di tempat teduh dan berangin selama dua hingga tiga minggu untuk percambahan tunas-tunas. Kemudian rizom dikerat 5 cm panjang dan mempunyai sekurang-kurangnya dua mata tunas.

Anggaran 25-33 keratan boleh didapati daripada 1 kg rizom. Keperluan bahan tanaman dianggarkan 1,500-2,000 kg rizom segar untuk satu hektar. Rizom-rizom direndam selama lima minit dalam larutan Bordeaux (4:5:50). Selepas itu keringkan semalaman sebelum menanam. Tujuan merendam dalam larutan tersebut adalah untuk mengurangkan berlakunya penyakit layu.

PENYEDIAAN TANAH

Gemburkan tanah sebelum menanam. Buatkan batas berukuran 30 cm tinggi 60 cm antara batas.

MENANAM DI LADANG

Seeloknya halia ditanam dalam bulan Februari dan Mac iaitu musim permulaan hujan. Ini membantu percambahan rizom-rozom. Musim kemarau berikutnya pula mengurangkan berlakunya penyakit layu.

Petani-petani biasanya mengamalkan jarak tanaman 25-30 cm empat persegi dan 20cm x 30cm. Walau bagaimanapun jarak tanaman yang disyorkan ialah 60cm x 60cm dalam barisan.

Jarak tersebut menggalakkan pembesaran rizom yang lebih subur dan memberi sejumlah 53,796 pokok sehektar.

Atur keratan-keratan rizom di atas batas. Gali lubang sedalam 15 cm dan letakkan rizom dengan ‘mata’ menghala ke atas. Kambus dan kejapkan tanah. Beri naungan kepada pucuk-pucuk baru yang muncul dalam masa 2 hingga 4 minggu selepas menanam.

Pembajaan bagi jarak tanaman halia 0.25 m x 0.5 m

Nota:  MST – Minggu sebelum tanam     HLT -Hari lepas tuai

PENJAGAAN

Pembajaan – Disyorkan mengikut keadaan tanah.

Tanah gambut – gunakan baja campuran yang mengandungi 73 kg N, 44 kg P2Os dan 236 kg K20 sehektar. Tanah bukan organan disyor menggunakan baja campuran yang mengandungi 56 kg N, 67 kg P2Os dan 112 kg K20 untuk satu hektar.

Merumput – Sekurang-kurangnya 1-3 pusingan merumput dibuat semasa membaiki batas-batas.

MEMUNGUT HASIL

Halia mula dituai sebagai halia muda yang berumur 4 – 5 bulan dan halia tua berumur 9 bulan selepas menanam. Kelewatan memungut hasilnya akan meninggikan kandungan sabut.

PENYAKIT, PENYEBAB SERTA KAWALANNYA

Layu baketeria (Ralstonia soslanacearum) – Daun kering perang keemasan, layu dan kering. Batang dan rhizom menjadi lembik dan busuk. Guna benih dari pokok yang bebas penyakit. Musnah pokok yang berpenyakit dan elak menanam halia di kawasan yang sama. Dapatkan saliran ladang yang baik.

Reput akar (Phytophthora spp.) – Bahagian yang diserang berair dengan cepat dan reput. Gilirkan tanaman

Ulat pengorek (Udasspes folus) – Sembur racun Pemethrin atau Methamidophos.

Bintik Daun (Phyllosticta zaingibera) – Sembur racun kulat Benomyl.

PENGUTIPAN HASIL

Hasil boleh dipungut sebagai halia muda semasa berumur 4-5 bulan dan halia tua semasa berumur 8-9 bulan (batang daun mula menjadi kuning).

Halia yang dikutip sekiranya terdedah lama kepada cahaya matahari, akan kehilangan air dan mutunya merosot. Hasil tua adalah diantara 12-18 tan/hektar dan halia muda ialah 9 tan/hektar. Hasil purata halia tua ialah 15 tan sehektar.

KEGUNAAN

Masakan dan makanan

Halia biasanya digunakan sebagai rempah perasa dalam masakan dalam bentuk halia segar, halia kering dan halia bergula.

Halia juga boleh diproses sebagai serbuk halia, halia jeruk dan bahan perasa untuk pelbagai menu makanan seperti sos dan bakeri.

Perubatan

Lazimnya dalam perubatan halia diambil dalam bentuk minuman halia, halia kering, air rebusan halia atau pati halia.

Halia dikatakan dapat membantu menghadamkan makanan, menguatkan tenaga dalaman lelaki, menambahkan air mani dan membuang angin yang terdapat di dalam usus kecil dan usus besar.

Ubat-ubatan dari halia juga dikatakan boleh mengawal beberapa penyakit seperti deman, batuk, sakit kepala atau migrain, sakit gigi, sakit tulang, sengugut dan sesak dada.

Halia juga bersifat karminatif, stimulant dan pembunuh kuman jika diambil sebagai ubat. Penyelidikan yang dibuat oleh penyelidik Universiti Michigan yang diterbitkan di American Association of Cancer Research menunjukkan bahawa halia mampu memusnahkan sel barah.

Kegunaan lain

Halia juga boleh diproses untuk pengeluaran minyak dan hasil ekstrak. Bahan aktif dalam ekstrak halia ialah gingerols dan oleoresin.

Minyak halia boleh dijadikan bahan perisa minuman buah-buahan, konfeksionari, kosmetik dan ubatan – Terengganu.gov.my

About Sifudurian 298 Articles
BLOGGER, WRITER, FARMER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*