Ratu Cantik Depan Rumah – SOP Penanaman Keladi Hiasan

1. Keladi Hiasan seringkali ditanam di laman rumah sebagai penyeri rumah kerana mempunyai daun cantik dan menarik. Pokok ini tergolong dalam famili tumbuhan Araceae.

2. Bagi masyarakat kampung, pokok ini sudah menjadi sebahagian daripada tanaman yang wajib ada di laman rumah kerana ianya sejenis pokok yang tidak banyak ragam dan mudah penjagaannya.

3. Terdapat beberapa spesis pokok keladi hiasan yang popular antaranya adalah Caladium Humboldtii, Caladium Lindenii dan Caladium Bicolor.

4. Cara penanamanya adalah tanam ubinya yang bertunas sedalam 2 CM ke dalam pasu yang mempunyai medium tanah yang kaya dengan humus. Nisbah 3:2:1 (tanah peroi:bahan organik:pasir sungai)

5. Siram medium tanaman dan letakkan ia di tempat teduh atau separa teduh bagi mempercepatkan pertumbuhan akar anak pokok.

6. Seterusnya, dedahkan tanaman kepada cahaya matahari yang banyak namun terlindung. Ini bagi mendapatkan hasil corak dedaunan yang cantik dan menarik.

7. Siram pokok keladi hiasan ini dua kali sehari pada hari yang bercuaca panas untuk mengekalkan kelembapannya.

8. Sebaiknya elakkan takungan air, agar akar pokok tidak cepat mereput. Sekiranya berlaku, keluarkan pokok dari medium lembap itu, basuh dan keringkan ubinya lalu tanam semula dengan medium tanaman yang lebih gembur.

9. Antara baja yang sesuai untuk digunakan adalah baja najis ayam. Selain itu, boleh gunakan baja kimia untuk pokok berdaun yang tinggi nitrogennya. Elakkan menggunakan baja biji yang boleh melecurkan dedaun pokok.

10. Pokok Keladi Hiasan ini boleh dijual dengan harga serendah RM 7 dan boleh mencecah sehingga RM 60 mengikut saiz dan spesisnya. Semakin cantik corak daun, semakin mahal harganya.

11. Info tambahan, walaupun pokok ini cantik namun ianya mempunyai getah yang gatal dan beracun jika bahagian pokok seperti batang daun dan ubinya dipotong.

12. Antara tips yang sering digunakan oleh penanam pokok keladi hiasan adalah dengan meletakkan pokok tersebut jauh dari tempat lalu lalang dan menggunakan sarung tangan ketika memotong batang daun dan ubinya.

13. Jika terkena getah, segera basuh dengan air. Manakala, sekiranya terkena racun, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor.

Artikel ini dipetik dari laman-seri.blogspot.com dan ditulis semula oleh Sifu Durian.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*