RM6,000 Seekor

DALAM kelembutan, si ikan laga dengan ‘sombongnya’ mempamerkan kecantikan kombinasi warna, bukaan sirip dorsal, sirip kaudal dan sirip anal sesama sendiri.

Ketenangan. Itu perasaan yang penulis alami apabila melihat aksi gemalai ikan laga, ‘betta fish’ atau nama saintifiknya, Betta splendens, sememangnya pilihan popular masyarakat sebagai ikan hiasan di rumah.

Antara spesies ikan laga yang unik dan sering diangkat dalam pertandingan hingga ke peringkat antarabangsa termasuk halfmoon single tail, halfmoon double tails, halfmoon plakat dan crowntails.

Istimewanya, ikan ini memiliki kriteria tertentu untuk membuktikan kelainannya.

Ini merangkumi bentuk badan normal tanpa sebarang kecacatan seperti bengkok, saiz bukaan ekor atau sirip kaudal, kombinasi warna yang pelbagai hingga mencecah lapan warna serta ‘ventrals’ atau dipanggil janggut.

Harga jualan bermula serendah RM3, keunikan dan ciri istimewa ikan laga ini sebenarnya menjadi penentu harga bagi satu-satu jenis ikan, malah ada harga ikan laga yang pernah mencecah RM6,000 seekor.

Berkongsi cerita dengan pengusaha ikan laga, Hamden Zarif, 28, berkata minatnya terhadap ikan ini bermula sejak kecil malah beliau pernah berjaya membuat baka ikan laga pada usia belasan tahun.

Meskipun kini sibuk berniaga makanan bersama isteri di Bentong, Pahang, Hamden kembali mencuri masa untuk meneruskan minatnya koleksi mengumpul ikan laga sejak tiga tahun lalu.

“Pada 2017, saya berjinak-jinak semula dengan hobi mengumpul ikan laga di rumah.

“Bermula hanya dengan 10 ekor, bilangan ikan laga milik saya kian bertambah apabila memulakan proses pembiakan.

“Lama-kelamaan, saya menerima ramai permintaan daripada orang ramai untuk membeli ikan laga.

“Berdasarkan permintaan itu, saya menyedari wujudnya potensi besar terhadap industri ikan hiasan, khususnya ikan laga ini.

“Jadi, saya memulakan projek pembiakan dan penjualan ikan laga ini secara lebih serius dan membuka stor mini bagi menjayakan idea ini sejak setahun lalu.

“Enggan berniaga tanpa sebarang ilmu, saya mula membuat kajian dan bacaan menerusi Internet serta menonton video mengenai ikan laga.

“Malah saya turut mengikuti kursus genetik anjuran Kolej Komuniti di Jerantut, awal tahun ini,” katanya ketika ditemui oleh krew Harian Metro di stor mini ikan laga miliknya, baru-baru ini.

Ikan betta yang memiliki peminatnya tersendiri sama ada dewasa mahupun kanak-kanak disifatkan mudah membiak sekiranya kena pada caranya.

Kini beliau memiliki hampir 300 ekor induk ikan laga pelbagai spesies, Hamden turut berkongsi kaedah pembiakan ikan laga menggunakan teknik paling mudah.

Menggunakan air daun ketapang yang direndam dalam bekas selama tiga hari, induk jantan akan dilepaskan dalam bekas berkenaan.

Kemudian, teknik pengasingan induk betina dilakukan dengan memasukkan bekas berlubang ke dalam air rendaman sama dan diasingkan selama dua hari.

Menurut Hamden, tempoh pengasingan kedua-dua induk dalam bekas air rendaman yang sama itu membuatkan induk jantan menghasilkan banyak buih.

MENGGUNAKAN daun ketapang untuk penjagaan ikan laga (Gambar)

Bagi mengekalkan kuantiti buih itu, beliau meletakkan plastik di sekeliling air rendaman berkenaan.

Apabila buih sudah banyak, induk betina akan dilepaskan untuk proses mengawan.

“Paling cepat, proses mengawan ini mengambil masa kira-kira enam jam dan paling lama, tiga hari.

“Selepas proses mengawan selesai, saya biasanya akan mengeluarkan induk betina dan membiarkan induk jantan dalam bekas sama untuk disenyawakan telur hingga menetas.

“Telur ini akan menetas dalam tempoh 48 jam. Buih dihasilkan induk jantan pada permulaan tadi digunakan sebagai pelindung telur dan anak ikan.

“Selepas anak ikan berusia lima hari, induk jantan akan dikeluarkan untuk mengelakkan ia berlaga. Saya akan memulakan proses penjagaan anak ikan laga pada hari ketiga dengan memberinya makanan seperti kutu air.

“Selepas lima hari, anak ikan ini akan dipindahkan ke dalam bekas yang lebih besar dan selesa. Selepas dua bulan, saya akan asingkan anak ikan ini satu per satu ke dalam bungkusan plastik.

“Mengikut pengalaman saya, setiap kali proses pembiakan dibuat, saya boleh mendapat anak ikan baharu sebanyak 50 hingga 300 ekor.

“Bilangan anak ikan ini bergantung juga pada kualiti induk yang kita miliki. Jentik-jentik adalah makanan terbaik untuk ikan laga yang berkualiti.

“Sekiranya kita mempunyai induk yang berkualiti dan sihat, kita boleh mendapat telur yang lebih banyak malah saiz anak ikan juga agak besar, cepat matang dan tidak mudah mati,” katanya.

Menerima permintaan yang tinggi dari seluruh negara terutama Sabah dan Sarawak, lelaki ini yakin industri ikan laga mampu dikembangkan ke peringkat lebih baik, seiring dengan pengalaman dan pengetahuan mendalam mengenai ikan laga.

Apa kata anda? jangan lupa tinggalkan pendapat anda di ruangan komen dibawah, terima kasih sudi membaca.

Sumber: Harian Metro

About Sifudurian 312 Articles
BLOGGER, WRITER, FARMER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*