Tanam Tebu Telur Secara Sepenuh Masa Kerana Permintaan Pasaran Tidak Mencukupi…

USIANYA baru sahaja mencecah 29 tahun namun mempunyai pengetahuan luas dan minat mendalam terhadap bidang pertanian.

Melihat potensi luas dalam bidang itu, Abdul Hakim Abu Bakar mengusahakan penanaman tebu telur secara sepenuh masa di Kampung Pulau Raja, Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan sejak tahun lepas.

Lebih menarik, tanaman ini diusahakan di ladang kelapa yang sudah dijalankan selepas menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Hasil daripada jualan santan kelapa itu, dijadikan modal untuk memulakan penanaman tebu telur.

Abdul Hakim berkata, dia memilih untuk serius dengan penanaman tebu telur selepas tanaman ini mempunyai pasaran yang luas kerana mendapat permintaan tinggi sehingga ke Singapura namun masih tidak mencukupi.

“Menyedari perkara itu, saya nekad untuk terlibat secara serius dengan penanaman tebu telur bersama ayah dan adik di atas tanah seluas kira-kira 1.2 hektar.

“Alhamdulillah, selepas sembilan bulan, saya mula menuai hasil sehingga 10 tan sejak bulan lalu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Biarpun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian, Abdul Hakim berani menongkah arus untuk menjadikan bidang tersebut sebagai sumber pendapatan bagi menyara keluarga.

“Pada saya untuk memulakan sesuatu benda ilmu sangat penting. Oleh itu, saya bermula dengan menyertai kursus tentang tanaman ini anjuran Koperasi Pembangunan Usahawan Bestari Johor Berhad di Pahang.

“Di sini, saya diajar pelbagai ilmu mengenai proses penanaman sehingga proses selepas tuaian tebu telur. Saya juga sering menerima nasihat daripada Jabatan Pertanian Tumpat,” ujarnya.

Katanya, dia menggunakan dua sistem iaitu lubang dan parit untuk uji keberkesanan terhadap tanaman tebunya.

“Tanaman ini memerlukan penjagaan yang konsisten termasuk pemberian baja, racun serangga dan air.

“Selepas sembilan bulan ke atas ditanam, tebu yang sudah matang dan mencapai ketinggian 2.1 meter ke atas boleh dituai.

“Uniknya, tebu ini keluar bersama ‘anaknya,’ yang boleh dituai dalam tempoh tiga bulan selepas ‘ibunya’ dituai. Proses ini akan berlanjutan dalam tempoh tiga hingga empat tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, penanaman tebu telur ini amat mudah namun memerlukan penjagaan rapi supaya pertumbuhan tidak terbantut.

“Pada usia tiga hingga empat bulan, apabila daunnya terbuka sendiri, petani perlu mencabut daun untuk elakkan serangan serangga dan ulat.

“Serangan ulat pengorek batang boleh mengakibatkan pertumbuhan tebu terbantut, sekali gus menurunkan kualitinya.

“Pengawalan rumpai juga perlu dibuat untuk elakkan kehadiran ular dan tikus yang boleh membahayakan keselamatan pekerja,” katanya.

Selain itu, Abdul Hakim turut berdepan cabaran musim kemarau kerana tanah tidak dapat menyimpan air dalam tempoh lama untuk dibekalkan kepada tanaman tebu.

“Oleh itu, saya perlu memasang sistem pengairan sebagai persediaan untuk menghadapi musim kemarau,” katanya.

Beliau berkata, tebu telur mempunyai kelebihan tersendiri berbanding tebu lain sehingga ia mendapat permintaan tinggi.

“Tekstur kulit dan isinya lebih lembut dan rapuh. Selain itu, aroma air tebu ini lebih wangi serta warnanya lebih terang,” katanya.

Ditanya perancangan pada masa hadapan, Abdul Hakim berkata, selepas Syawal ini, dia bakal memulakan penanaman tebu telur untuk fasa kedua bagi memenuhi permintaan pasaran dalam dan luar negara.

“Saya juga merancang untuk membuat sebuah kilang memproses air tebu untuk dieksport ke luar negara,” katanya – Harian Metro

About Sifudurian 314 Articles
BLOGGER, WRITER, FARMER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*