Tips Menanam NANGKA MADU J33 – Potensi Tanaman Nangka Madu J33

1. Nangka Madu J33 yang juga dikenali sebagai Tekam Yellow merupakan salah satu variety nangka paling sedap. Keenakan buahnya yang berbeza dengan nangka jenis lain membuatkannya cukup digemari oleh masyarakat kita.

2. Tanah lom berpasir dengan sistem saliran yang baik amat sesuai digunakan bagi menanam nangka madu J33. Tanah perlulah bebas daripada sebarang tunggul kayu bagi mengelakkan anai-anai yang akan memakan pangkal pokok nangka.

3. Para petani perlu memastikan agar pokok nangka tidak ditanam di kawasan yang rendah dan mudah terendam air. Ini kerana pokok nangka tidak dapat bertahan lama dalam air. Pokok dikatakan akan mati jika terendam di dalam air melebihi 8 jam.

4. Pokok nangka madu akan mencapai 3 hingg 3.5 meter dalam masa enam bulan. Sistem pengairan yang baik, baja yang mencukupi dan pengurusan tanaman yang betul akan menghasilkan buah nangka berkualiti eksport.

5. Biji benih Nangka Madu J33 boleh dibeli daripada Jabatan Pertanian atau pembekal benih pokok bagi menjamin kualiti dan ketulenannya.

Harga anak benih pokok nangka dijual dalam lingkungan RM15 hingga RM35 sepokok bergantung pada saiz pokok, kualiti anak benih dan jumlah yang dibeli.

6. Benih ditanam dalam lubang yang telah diletakkan baja asas (MOP) dan baja organik tahi ayam. Lubang tanaman tidak boleh terlalu dalam bagi mengelakkan penakungan air yang membuatkan anak benih mati.

Anak benih yang ditanam perlu ditutup dengan daun kelapa dan disiram sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali dalam seminggu.

7. Untuk satu hektar tanah, para petani perlu menyediakan lubang penanaman sebanyak 123 pokok. Jaraknya adalah 9 meter x 9 meter bagi setiap pokok.

Jarak itu merupakan jarak yang dicadangkan oleh Jabatan Pertanian bagi mendapatkan saiz buah yang besar dan boleh dieksport serta memenuhi kualiti domestik iaitu di antara 12 kg hingga 15 kg.

8. Lalat buah adalah musuh utama tanaman nangka madu J33. Ia akan bertelur dan larvanya akan menjejaskan kualiti buah. Penyakit mati rosot yang berpunca daripada kulat Erwinia spp dan penyakit cendawan angin turut menjadi ancaman. Selain itu, pokok nangka madu juga terdedah pada serangan babi hutan dan monyet.

9. Nangka Madu J33 akan mengeluarkan buah selepas tiga tahun. Berbeza dengan buah nangka biasa, nangka madu J33 lebih manis dan rangup. Isinya tebal, kurang berair, berwarna kuning dan enak dimakan.

10. Kemanisan isi nangka madu J33 boleh mencapai bacaan antara 26 hingga 28 darjah Brix iaitu kategori buah nangka yang sangat manis kerana kebiasaan nangka hanya mencatat 17 hingga 18 darjah Brix. Aromanya sangat wangi dan tahan selama beberapa hari jika disimpan.

11. Selain enak dimakan begitu sahaja, nangka madu J33 juga amat sesuai untuk diproses menjadi Vacum Fry of Jackfruit Chip. Dengan berat sekitar 50 gm hingga 70 gm, Vacum Fry of Jackfruit Chip dijual pada harga yang agak tinggi iaitu di antara RM8 hingga RM12 – Sifudurian

About Sifudurian 166 Articles
BLOGGER, WRITER, FARMER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*